Chong Chieng Jen. foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2018.

KUCHING – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen yakin akan ada perkembangan positif berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung kes rasuah membabitkan individu berprofil tinggi di Sarawak.

Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, mengesahkan bahawa awal tahun ini, beliau membuat aduan bahawa SPRM negeri ini tidak mengambil tindakan proaktif dan agresif dalam memerangi rasuah di Sarawak terutama yang melibatkan ‘ikan-ikan besar’.

Meskipun beliau enggan menjelaskan secara terperinci, beliau berkata, aduan itu ada hubungan dengan ‘beberapa’ kes yang dilaporkan kepada SPRM negeri ini terhadap pemimpin sekarang dan bekas pemimpin negeri berhubung pemindahan tanah dan anugerah kontrak kerajaan kepada ahli keluarga dan syarikat kroni semasa Barisan Nasional masih berkuasa ketika itu.

“Kami menyerahkannya kepada SPRM untuk menjalankan tugasnya. Ia suatu berita baik apabila di bawah kepimpinan baharu Ketua Pesuruhjaya, Latheefa Koya yang akhirnya kita lihat beberapa tindakan sedang diambil,” katanya pada persidangan akhbar di sini, hari ini bagi mengumumkan tarikh jamuan kutipan dana PH Sarawak pada 28 Julai.

Chong mengulas berhubung kenyataan Latheefa di sini semalam yang mengesahkan bahawa terdapat kes membabitkan individu berprofil tinggi di Sarawak tetapi tidak dapat memberi butiran kerana siasatan masih dijalankan.

Chong, seorang peguam secara profesyen berkata, rakyat Sarawak telah menunggu sekian lama agar dilaksanakan siasatan berkenaan dan dimasukkan juga mereka yang disyaki melakukan rasuah agar didakwa di mahkamah.

Baru-baru ini, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor berkata, sebarang laporan atau aduan membabitkan individu berprofil tinggi di negeri ini akan dirujuk kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya memandangkan SPRM Sarawak hanya bertindak sebagai pejabat perhubungan sahaja. – Bernama