Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – “Kalau dia nak hujah Madinah ke Mekah ke? Itu masalah dia (Siti Kassim).

“Saya hanya bertanggungjawab kepada orang Islam di Malaysia”.

Itu reaksi Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang tegas dengan pendiriannya bahawa arak tanpa alkohol yang dijual secara terbuka hanya untuk orang bukan Islam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Siti yang menuduhnya cuba mengelirukan umat Islam tentang halal dan haram dalam isu tersebut.

Siti tengah hari ini membidas Mujahid yang menegur syarikat pengeluar minuman keras di negara ini tidak mengelirukan umat Islam.

Menurut Siti, di Mekah sendiri, sejak tahun 80-an produk minuman tanpa alkohol telah dijual.

Tambah Mujahid lagi, sebagai menteri, beliau hanya bertanggungjawab terhadap orang dan isu Islam di negara ini dan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang bukan Islam mengambil minuman itu.

“Saya bercakap kepada umat Islam kerana ia menimbulkan kekeliruan kepada mereka dan sebagai menteri agama sudah tentu orang akan tanya saya.

“Maka jawapan saya begitulah..benda yang mengelirukan, ada alkohol ke tidak? Ada alkohol ke atau ada pula arak halal? Jadi situ menimbulkan kemusykilan.

“Jadi apa yang dia (Siti Kassim) hendak fikir lepas daripada itu.. itu masalah dia. Saya nak jaga orang Islam supaya jangan keliru. Itu sahaja,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen petang tadi.

Lagi pun kata Mujahid, isu berbangkit berlaku di negara ini dan beliau dipersoalkan oleh orang Islam dan bukannya isu di Mekah dan Madinah.

“Dan saya kata kalau keliru tinggalkan sahaja. Mengapa perlu pening, itu sahaja yang saya jelaskan,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette