MELAKA – Seorang bekas tentera didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya, awal bulan ini.

Mahat Jalil, 56, didakwa membunuh Samnah Mohamed, 55, seorang suri rumah di sebuah rumah di Taman Seri Duyong Fasa Dua, di sini, pada 10.22 pagi, 3 Julai lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Teoh Shu Yee, kerana kes berkenaan merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan pemeriksaan kesihatan mental tertuduh di Hospital Permai, Johor Bahru mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Najwa Nazari manakala Mahat tidak diwakili peguam.

Terdahulu, ketika dalam kandang tertuduh, sejurus jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya, lelaki itu sempat berkata kepada Majistret, “saya sayang isteri saya”.

— BERNAMA