A'zlan Abu Bakar
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A'zlan Abu Bakar. foto AFFAN FAUZI, 28 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Tuntut Malaysia mendesak agar semua pihak tidak mempolitikkan kenyataan kontrovesi Ikon Felda, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar berkata, tidak timbul sebarang penghinaan mahupun kritikan yang memalukan jika dilihat dari sudut positif apa yang dikatakan oleh Ikon Felda itu terhadap masyarakat peneroka.

“Kita seharusnya menyokong penuh suara ini kerana Chef Wan telah menjalankan tanggungjawab menyuarakan permasalahan sebagai seorang Ikon yang lebih menjiwai kehidupan sebagai anak Felda untuk kebaikan generasi Felda di masa hadapan.

“Itulah realiti yang kami percaya IKON Felda ini berniat baik yang bertujuan bagi menyuarakan permasalahan warga Felda.

“Kami percaya bak kata pepatah ‘penawar itu adalah pahit untuk ditelan’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 8 Julai lalu, Chef Wan dalam entri akaun Instagramnya didakwa menghina peneroka Felda, sehari selepas beliau dinobatkan sebagai Ikon Felda oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara kata-kata Chef Wan itu ialah ‘Di belakang rumah, ramai rakan Felda yang lain menjual subsidi baja yang diberikan kepada mereka oleh kerajaan dan apabila mereka menerima dividen, mereka berkahwin dua atau tiga kali dan ‘membiak seperti kucing’.

Chef Wan juga turut mendakwa sikap buruk itu telah diwariskan kepada cucu-cucu mereka sambil berkata ‘Jika kita malas dan tidak mahu berkorban, Tuhan tidak akan membantu kita dan kita tidak akan berjaya dalam kehidupan.

A’zlan juga menegaskan, tiada keperluan Chef Wan untuk tunduk kepada desakan pelbagai pihak termasuk memulangkan trofi anugerah Ikon Felda yang diberikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada beliau.

“Penganugerahan ini diberikan oleh kerajaan sendiri terhadap beliau yang mana kami pasti kerajaan telah melalui penilaian yang sewajarnya.

“Oleh itu, Ikon Felda ini berhak bersuara kepada kerajaan demi menjadikan Felda sebagai warga yang lebih maju ke hadapan daripada yang lain.

“Inilah tujuan sebenar anugerah Ikon Felda itu di mana harapan beliau hanyalah untuk melihat generasi beliau di Felda menjadi lebih berdaya saing dan maju untuk masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, A’zlan juga menggesa kerajaan memandang serius keluhan dan dakwaan Ikon Felda itu yang melihat penyalahgunaan bantuan kepada golongan petani itu berleluasa sejak sekian lama.

“Kerajaan seharusnya menyediakan pelan penyelesaian dan didikan jangka masa panjang dalam memberikan tumpuan terhadap pembangunan serta penambahbaikkan generasi Felda ini.

“Kerana sehingga hari ini terbukti bahawa generasi Felda ini banyak menyumbang kepada hasil mahupun kejayaan untuk negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette