KUALA LUMPUR – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya mengumumkan Julian Johan Bechler sebagai pemain baharu Harimau Selatan.

Pengumuman itu dibuat di laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers sempena majlis pengenalan pemain dan menandatangani kontrak penjaga gol berusia 17 tahun itu.

Julian berdarah kacukan Malaysia-Jerman kini menetap di Frankfurt dan beraksi bersama skuad B-19 kelab Tus Hornau.

Ibunya, Datuk Nooraini Anne Bechler adalah rakyat Malaysia dan melayakkannya pemain itu secara automatik untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Julian sebelum ini pernah memberitahu dia memilih Malaysia kerana ibunya dan ada keluarga yang besar di negara ini.

Dia juga pernah menghadiri sesi pemilihan skuad remaja B-19 Malaysia kendalian Bojan Hodak.

Namun ketika itu Julian tidak boleh mewakili Malaysia kerana tiada kad pengenalan Malaysia. – MalaysiaGazette