Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan), Ketua Setiausaha Negara, Dr Ismail Bakar, (dua kiri), Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim (kiri) dan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Datuk Harjeet Singh (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada majlis Pelancaran Aplikasi Telefon Pintar Respons Rakyat di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan aplikasi telefon pintar generasi kedua yang dikenali sebagai Respons Rakyat (RR 2.0) hari ini.

Aplikasi itu dibangunkan bagi memudahkan orang awam membuat aduan dan memberi maklum balas berhubung sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Menerusi RR 2.0, orang awam dapat mengemukakan aduan dan maklum balas kepada 460 agensi kerajaan.

Ia melibatkan 25 kementerian, 257 agensi kerajaan persekutuan, 13 pejabat setiausaha kerajaan negeri, 149 pihak berkuasa tempatan dan 16 syarikat utiliti dengan hanya menggunakan satu aplikasi telefon pintar.

“Aplikasi telefon pintar RR 2.0 ini menggantikan Rakyat Responz (RR 1.0) yang telah dibangunkan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) pada Mei 2016.

“Antara kelebihan RR 2.0 berbanding RR 1.0 apabila ia berupaya memuat naik video dan audio, sistem pesanan RR Messenger sebagai pemaklum atau notifikasi mesej baharu yang diterima.

“Pada masa sama, RR 2.0 membolehkan pengadu mengikuti kes dalam siasatan melalui telefon pintar selain dapat menjalankan kajian kepuasan pelanggan,” kata BPA dalam satu kenyataan selepas majlis Pelancaran Aplikasi Telefon Pintar Respons Rakyat di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Mengulas lanjut, BPA berkata, pihaknya yakin RR 2.0 akan mendapat sambutan yang menggalak daripada orang awam yang ingin membuat aduan berhubung sistem penyampaian sistem awam.

Jelas biro bawah Jabatan Perdana Menteri, keyakinan itu berdasarkan trend penggunaan bagi tempoh tiga tahun lalu apabila 7.5 peratus keseluruhan aduan BPA diterima daripada apliskasi telefon pintar RR 1.0.

“Angka ini meningkat kepada 8.3 peratus pada tahun 2017 dan 17.4 peratus pada tahun 2018.

“Justeru pengenalan RR 2.0 merupakan langkah terbaharu kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan Sistem penyampaian perkhidmatan awam,” kata BPA.

Sementara itu, RR 2.0 boleh dimuat turun daripada App Store dan Google Play Store. – MalaysiaGazette