KUALA LUMPUR – Usahawan terkenal Datuk Seri Aliff Syukri membuktikan dirinya tidak mendiskriminasi mana-mana golongan apabila mengambil Orang Kelainan Upaya (OKU) bekerja dengannya.

Sebelum ini usahawan itu mendedahkan seorang pemuda OKU berusia 22 tahun dari Segamat, Johor bernama Syukri datang ke kediamannya untuk mencari pekerjaan sehingga kisah itu menjadi tular di media sosial.

Ujarnya, pemuda itu kini tinggal sebumbung bersamanya sekeluarga.

Meski tidak boleh bertutur, namun Syukri merupakan pekerja yang rajin dan ceria, menurut usahawan kosmetik itu lagi.

“Pada mulanya dia hanya minta gaji RM500 sebulan, tetapi saya bagi lebih kepada dia. Abang dia pun pernah bagi mesej berterima kasih kepada saya dan isteri kerana menyantuni adiknya,” katanya.

“Selepas beberapa minggu saya ambil dia bekerja, saya tengok dia seorang yang rajin dan sentiasa ceria walaupun tidak boleh bercakap. Kehadirannya dalam hidup saya sekeluarga juga menyedarkan bahawa orang yang ada kekurangan pun tidak pernah mengeluh, kita yang cukup dari segi fizikal kadang-kala ada sahaja benda yang nak dikeluhkan.

“Sebelum ini saya tidak pernah ambil pekerja OKU, tetapi melihatkan dia cukup rajin, apa salahnya saya beri dia peluang itu. Kerja dia banyak dihabiskan dengan membungkus produk-produk perniagaan saya, tolong tengok-tengokkan anak saya selain boleh jadi pemandu saya jika saya nak ke mana-mana,” katanya.

Aliff Syukri ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu keluarannya, ASL Cosmetics yang berlangsung di Glam Hall, Damansara Perdana semalam.

Dalam perkembangan lain, Aliff memberitahu ASL Cosmetics merupakan taruhan terkini menampilkan Erra Fazira dan Wany Hasrita sebagai duta telah berada di pasaran sejak sebulan lalu.

Jelasnya, ia merangkumi 15 jenis produk kosmetik yang direka dan diformulasikan sendiri oleh Aliff Syukri dan isteri, Datin Seri Nur Shahida.- MalaysiaGazette