Sebanyak 42 kes baharu keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca daripada memakan laksa yang dibeli di premis di Kupang, Baling telah direkodkan sehingga kini. - KP Kesihata, Datuk Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan bagi menghadapi potensi penularan penyakit Virus Ebola (EVD) di Malaysia.

Ia susulan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai penularan EVD di Republik Demokratik Congo pada 17 Julai lalu hingga diisytiharkan Public Health Emergency of International Concern (PHEIC).

Walau bagaimanapun, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan atau sekatan untuk pergi ke negara yang terlibat.

Negara yang dijangkiti juga tidak dikenakan sebarang sekatan perjalanan dan perdagangan di peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi kejadian penyakit ini akan terus dipantau oleh KKM dan sebarang perkembangan daripada pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kementerian itu akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

“KKM memandang serius mengenai kejadian wabak EVD yang dilaporkan oleh pihak WHO ini.

“Bermula pada tahun 2014, selepas WHO mengisytiharkan wabak Ebola di negara Afrika Barat sebagai PHEIC, KKM sentiasa memperkukuhkan pemantauan dan kesiapsiagaan bagi menghadapi potensi penularan penyakit ini,” katanya.

Republik Demokratik Congo adalah negara yang tersenarai berisiko untuk transmisi penyakit demam kuning, justeru saringan kesihatan bagi pelawat dari negara tersebut telah sedia ada dijalankan di pintu masuk antarabangsa.

Malah, aktiviti saringan kesihatan ini akan diperkukuhkan lagi bagi mengesan gejala jangkitan EVD.

Penumpang atau anak kapal yang disyaki mempunyai gejala EVD akan dirujuk ke hospital yang dikenalpasti bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Kes EVD yang disiasat akan dilaporkan kepada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) Kebangsaan, melalui Pejabat Kesihatan pintu masuk, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk pemantauan dan tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette