Datuk Seri Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador

KUALA KUBU BARU- Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan dua lagi suspek yang mempunyai kaitan dengan video seks yang didakwa menyerupai seorang menteri Kabinet telah ditangkap.

Penangkapan tersebut dibuat semalam di Shah Alam, Selangor.

“Saya boleh sahkan yang kami telah menahan dua suspek semalam di Shah Alam.

“Kami juga akan memanjangkan tempoh tahanan reman kepada beberapa individu yang telah ditahan sebelum ini.

“Siasatan masih berlangsung dan kami sedang dalam proses merekodkan kenyataan dan mengambil tindakan.

“Jadi ada kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perkhemahan Kadet Polis Kebangsaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid juga berkias yang kes tersebut banyak membuang masa pihak polis.

“Semua ini adalah hal politik.

“Dari hari pertama lagi saya telah didesak untuk mengesahkan ketulenan video berkenaan.

“Selepas berbuat demikian, saya pula dituduh membuat kenyataan politik,” jelasnya.

Tambah Abdul Hamid, mana-mana parti politik yang mahu bergaduh patut bergaduh di gelanggang sendiri.

“Jangan bawa pergaduhan anda ke luar dan melibatkan semua orang serta menyebabkan polis terpaksa membuang masa dan tenaga untuk menyiasat perkara remeh sebegini,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Video seks : Haziq, lima individu direman enam hari bermula hari ini

Haziq, Farhash mungkin sambung reman