Dr. Najmil Faiz

KUALA LUMPUR – Pertembungan serta perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) kini dilihat menjadi antara penyebab kepada ketidakstabilan politik di negara ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, konflik di antara dua pemimpin utama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semakin ketara apabila kedua-kedua pemimpin ini cuba untuk meluaskan hegemoni mereka.

Jelas beliau, parti komponen lain seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP serta Parti Amanah Negara (Amanah) juga tidak terlepas dari pelbagai masalah serta isu yang menjejaskan kredibiliti kerajaan PH.

“Bermula daripada kelemahan dalam mentadbir negara, kelembapan ekonomi, skandal pemimpin sehinggalah kepada keputusan Speaker Dewan yang tidak adil membuktikan kerajaan PH sebenarnya punca kepada kerosakan negara yang berlaku hari ini.

 

 

“Kegagalan kerajaan PH menangani masalah dalam parti menyebabkan tugas utama iaitu menerajui negara dan menjaga kebajikan rakyat semakin terabai dan akhirnya rakyat yang menerima akibatnya.

“Masalah domestik yang berpunca daripada perebutan kuasa dalam kalangan elit politik akan menjadi punca kepada ketidakstabilan politik negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najmil Faiz yang Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu menambahkKesannya dapat dilihat pada hari ini apabila Malaysia yang dulu menjadi hab utama kepada pelabur asing kini semakin ketinggalan dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Ujar beliau, prestasi ekonomi dan survival negara juga amat membimbangkan apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet mengesahkan hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan pada akhir 2018 berjumlah RM1.1 trilion.

“Kini, kestabilan politik dan masa depan negara menjadi persoalan utama yang amat membimbangkan rakyat Malaysia apabila negara ini ditadbir oleh kerajaan yang lemah dan tidak cekap,” katanya. – MalaysiaGazette