Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam bergambar bersama Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin (kiri) dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Kedua Perlawanan Akhir Shopee Piala FA Malaysia 2019 di Bilik Sidang Media, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Pengadil dari Jepun disahkan akan mengadili pentas perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019 pada Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, khidmat dua penjaga garisan juga akan digunakan dari negara matahari terbit itu membabitkan pertemuan Kedah dan Perak.

Jelasnya, mereka akan dibantu oleh pegawai keempat perlawanan dari Malaysia.

“Kelayakan set pengadil dari Jepun ini bukan tugas MFL untuk tentukan dan lantikan dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang lebih arif.

“Namun rakan kita dari J-League sudah pastu akan menghantar pengadil terbaik yang tidak akan mencemar nama liga mereka.

“Dan saya hanya akan bertemu mereka pada Khamis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media final Shopee Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar dan Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin.

Mengulas keadaan padang, Kevin memberi jaminan kualitinya kini berada di tahap terbaik.

Jelas beliau, ini kerana tiada sebarang acara sukan dianjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil sejak awal bulan lalu.

Katanya, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) ingin memastikan kedua-dua pasukan dapat menikmati perlawanan akhir tanpa memikirkan masalah kualiti padang yang sering dibangkitkan.

“Cuma kita kena tengok cuaca sepanjang minggu kerana setakat ini lapisan padang tiada masalah,” katanya. – MalaysiaGazette