Air Selangor menerima banyak aduan paip pecah yang mengakibatkan gangguan bekalan air.

KUALA LUMPUR – Jangka masa pemulihan gangguan air bagi keseluruhan kawasan secara berperingkat-peringkat bermula hari Rabu dan paling lewat Sabtu ini.

Gangguan air berlaku selepas pencemaran minyak diesel di sumber air mentah dikesan semalam menyebabkan operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor SSP1, SSP2 dan SSP3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang yang membekalkan 60 peratus air terawat kepada pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur terpaksa dihentikan.

Akibatnya hampir 1.2 juta penduduk atau 1,222 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan air.

Syarikat Air Selangor Sdn. Bhd berkata, keempat- empat loji telah kembali beroperasi pada jam 3.30 pagi hari ini.

Namun, proses bagi meningkatkan paras kolam dan menstabilkan tekanan di sistem-sistem utama sedang berlangsung.

“Pihak kami menyasarkan pemulihan bekalan air secara berperingkat akan bermula pada jam 6 pagi esok,” kata Syabas dalam satu kenyataan di sini.

Berdasarkan pemantauan sehingga jam 6 petang tadi, 16 peratus akaun pelanggan berdaftar yang menerima bekalan air secara terus telah pulih.

Menurutnya, bagi kawasan Kuala Selangor dan Hulu Selangor pemulihan keseluruhan pada 24 Julai (6 petang) dan Gombak pada 25 Julai ( 6 petang).

Manakala Kuala Lumpur dan Klang/Shah Alam pada 26 Julai (6 petang) serta Petaling dan Kuala Langat pada 27 Julai (9 pagi). – MalaysiaGazette