KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mahu mencabar keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Mahkamah Timbang Tara Sukan Antarabangsa (CAS).

Ini berikutan keputusan oleh badan pengendali bola sepak dunia itu yang mengenakan potongan enam mata Pulau Pinang sekaligus menafikan peluang Harimau Kumbang bermain dalam Liga Super 2020.

Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah berkata, pihaknya tidak berpuas hati ke atas keputusan FIFA.

Tegas beliau, ini kerana isu itu adalah kesilapan yang dibuat oleh pengurusan yang lama.

“FAP sedia membayar penalti yang lebih tinggi tetapi tidak dapat menerima hukuman potong enam mata yang dianggap terlalu berat.

“Kami akan merayu perkara ini di CAS bagi mencabar keputusan FIFA yang dianggap terlalu keras ke atas pasukan Pulau Pinang yang telah berjaya mengatasi banyak halangan bagi melayakkan diri ke Liga Super musim hadapan,” katanya di laman rasmi Facebook FAP di sini hari ini.

Amar mengesahkan pihaknya sedang mencari peguam yang berpengalaman untuk mengemukakan rayuan ini dalam masa terdekat.

Menurutnya proses rayuan sedang berjalan dan dijangkakan keputusan tidak akan mengambil masa yang panjang antara satu hingga dua bulan.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee berharap CAS akan memberikan keadilan kepada Pulau Pinang.

Ini selepas kerajaan negeri memperuntukam lebih RM5 juta kepada FAP untuk menguruskan pasukan pada musim ini termasuk mendapatkan pemain dan memperbaiki kualiti pasukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast