Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir pada Pelancaran Strategi Celik Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JULAI 2019

KUALA LUMPUR- “Saya tidak mempertahankan (Datuk Seri) Azmin Ali tetapi ini politik kotor dan saya tidak mahu terbabit dengannya,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau menjawab soalan apakah kenyataan-kenyataannya sebelum ini yang dilihat mempertahankan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menunjukkan Azmin tidak bersalah dan tidak akan didakwa.

Jelas Dr. Mahathir pembikinan dan penyebaran video seks tersebut sengaja dibuat untuk mempergunakan kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri dan menghalang individu tertentu untuk mara dalam kerjaya politiknya.

“Ada orang menggunakan saya untuk mencapai matlamat beliau.

“Ini bukan video biasa yang anda pernah lihat sebelum ini. Ia sengaja dicipta bagi mencapai cita-cita jahat menghalang individu tertentu mara dalam politik.

“Ia berbeza dengan rakaman video yang dilakukan secara tidak dirancang.

“Video ini memang dirancang dan saya tidak mahu menjadi ejen di dalam menjayakan pelan tersebut,” tegasnya.

Menurut Dr. Mahathir, sekiranya pelaku yang merakam atau menerbitkan video berkenaan dapat dikenal pasti, mereka pastinya akan dihukum.

“Ini bukan politik yang kita mahu,” katanya.

Dalam hantaran terbaharu di blognya hari ini, Dr. Mahathir meluahkan perasaan beliau yang tidak mahu diperalatkan untuk membunuh karier politik seseorang. -MalaysiaGazette