BUKIT MERTAJAM – Sekumpulan empat lelaki yang hidup mewah sejak awal tahun ini dengan memperoleh pendapatan sehingga kira-kira RM10,000 sebulan dengan menjual air ketum ditahan polis semalam, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, hari ini.

Katanya, kegiatan keempat-empat lelaki yang berumur antara 25 dan 35 tahun itu terbongkar selepas rumah yang mereka gunakan untuk memproses ketum di Taman Markisah di sini itu diserbu kira-kira pukul 7 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan dalam salah sebuah bilik di rumah itu, polis menemui satu tong mengandungi 39 botol air berkarbonat mengandungi air ketum. Setiap botol itu terdapat 1.5 liter air ketum,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya pergerakan suspek-suspek ini sudah dipantau sejak seminggu lepas sebelum polis membuat serbuan itu yang membolehkan pelbagai peralatan untuk memproses air ketum dirampas dari premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini memperoleh bekalan daun ketum itu dari sebuah negeri jiran sebelum memprosesnya menjadi air yang kemudiannya diisi di dalam botol minuman berkarbonat agar tahan lama,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata setiap botol air ketum itu dijual pada harga RM10 dan sindiket ini dipercayai mampu menjual sehingga 1,000 botol sebulan di sekitar daerah SPT.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan dua daripada empat lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah. Mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan di siasat menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast