Sultan Abdullah diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli meninjau keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran di di Sungai Isap 2. foto Bernama

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan baginda amat tersentuh dengan kehilangan tiga nyawa pada kebakaran di Sungai Isap 2 di sini, Ahad lepas.

Sultan Abdullah yang mencemar duli menziarah keluarga mangsa di lokasi kejadian yang melibatkan empat buah rumah di sini, juga memulakan titah baginda dengan mengajak semua yang hadir untuk menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada mangsa.

“Sebenarnya saya tidak terkata kerana ini kejadian yang cukup malang pada hemat saya…lebih-lebih lagi terdapat tiga beranak yang maut. Saya hendak cakap pun berasa begitu sedih dan pilu,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Abdullah yang diiringi Raja Permaisuri Agong Hajah Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli meninjau dua rumah yang musnah keseluruhan dan bertemu mangsa yang terselamat pada kejadian itu.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Pahang Nor Hisham Mohammad.

Sultan Abdullah seterusnya menitahkan supaya rakyat dapat mengambil iktibar daripada kejadian itu dengan mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya dalam isu berkaitan pendawaian dan penggunaan barangan elektrik.

“Saya juga ingin menyebut pesanan permaisuri supaya jika ada menggunakan ‘extension’, jangan gunakan secara berlebihan. Jika tiada keperluan atau tidak digunakan mohon ditutup dan cabut daripada soket.

“Untuk tuan rumah pula, eloklah jika diperiksa semula pendawaian, terutamanya rumah di sini kerana ini bukan kali pertama saya datang ke sini disebabkan bencana kebakaran. Jika tidak mahir, dapatkan bantuan mereka yang pandai kerana beban kuasa berlebihan boleh menyebabkan bencana.

“Ambil ingatan ini secara serius kerana ini memang ketentuan Allah namun kita boleh mengambil langkah berwaspada dan jika cuai, mungkin boleh menjadi kesilapan sendiri,” titah baginda.

Pada kunjungan itu, Sultan Abdullah juga berkenan menyampaikan sumbangan peribadi baginda dan Raja Permaisuri Agong, sumbangan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri serta pampasan insurans RM11,000 untuk dua beradik yang maut pada kejadian itu.

Pada kejadian 7.45 pagi Ahad lalu, tiga beranak iaitu Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dan dua anak lelakinya, Muhamad Haikal Hakimi Hairul, 11, dan Mohamad Adam Daniel, 7, ditemukan rentung dipercayai akibat terperangkap semasa kebakaran berlaku.

Kebakaran yang dipercayai bermula dari ruang tengah rumah mangsa juga menyebabkan tiga parah iaitu suami Sharifah Azlina, Hairul Khalid, 38, Syed Azman, 25, yang merupakan adik Sharifah Azlina dan isterinya Norazilah Abdullah, 23 tahun.

Adik kepada Norazilah, Nor Syawalina, 19, pula cedera ringan manakala Muhammad Alif Asyraf, 6, yang merupakan anak Syed Azman dan Norazilah tidak cedera. – MalaysiaGazette