Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Prosiding SRC International yang masuk hari ke-43 terpaksa ditangguhkan sehingga esok kerana kedua-dua peguam bela Datuk Seri Najib Razak tidak hadir hari ini.

Pihak pembelaan yang memohon penangguhan memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat hadir kerana terbabit dengan kes  National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Public Bank hari ini.

Manakala Harvinderjit Singh pula sakit pada awal pagi tadi dan tidak sihat untuk hadir perbicaraan.

Ketika Mohd Nazlan bertanya mengapa tidak ada barisan peguam bela lain yang boleh menggantikan mereka, pihak bela menyatakan mereka telah di nasihatkan untuk tidak menjalankan prosiding pagi ini.

Beliau kemudian membuat keputusan penangguhan prosiding pagi ini dan meminta Harvinderjit mengemukakan sijil sakitnya esok manakala tarikh 9 Ogos depan akan menjadi tarikh ganti.

Sepatutnya pada pagi ini, Harvinderjit dijadual menyoal balas saksi, ke-54, bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping tentang ‘hubungan’ dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low serta bekas Ketua Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil. –MalaysiaGazette