Gambar hiasan

SHAH ALAM – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan gangguan bekalan air di kesemua kawasan terjejas di Selangor dan Kuala Lumpur ekoran pencemaran diesel di Sungai Selangor telah pulih sepenuhnya.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata pihaknya amat menghargai keprihatinan semua pengguna sepanjang pelaksanaan pemulihan bekalan ekoran insiden yang menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas.

Beliau berkata pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, operator-operator air dari negeri lain dan semua yang terlibat menghulurkan bantuan sepanjang tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di lokasi terjejas.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan kami meminta semua pihak supaya bersama-sama menjaga sumber air dan menggunakan air dengan berhemah serta mengelakkan pembaziran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Ahad lepas, pencemaran diesel di Sungai Selangor mengakibatkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang dekat sini terpaksa dihenti tugas yang menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. – BERNAMA