Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Malaysia, Yb Dr. Xavier Jayakumar bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Projek Air Bersih Etiqa di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 JULAI 2019

KUALA LUMPUR- Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang menyediakan kertas kerja mengenai kenaikan tarif air sebelum dibentangkan ke kabinet tidak lama lagi.

Menterinya Dr. Xavier Jayakumar berkata, rundingan mengenai perkara berkenaan bersama kerajaan-kerajaan negeri hampir tamat.

“Ada beberapa negeri telah menyatakan persetujuan. Rundingan dengan negeri-negeri lain juga hampir tamat.

“Saya sedangkan sediakan kertas kerja untuk dibentangkan ke kabinet dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Projek Air Bersih Etiqa di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang tarikh akhir untuk mengumumkan kenaikan tarif air.

Terdahulu dalam ucapannya, Xavier berkata, kenaikan tarif adalah penting bagi memastikan perkhidmatan air terbaik dapat diberikan kepada pengguna.

“Kita tidak boleh harapkan kerajaan buat semua dan memberikan subsidi.

“Kita perlu fikir bagaimana untuk memberikan perkhidmatan air terbaik pada masa hadapan. Kerajaan sekarang melihat kepada tarif air dan bagaimana ia boleh mengubah sistem (perkhidmatan) air,” katanya lagi.

April lalu, Xavier mengesahkan enam negeri telah bersetuju untuk menaikkan tarif air.

Katanya, tarif air tidak pernah disemak sejak 20 tahun lalu. -MalaysiaGazette