Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Malaysia, Yb Dr. Xavier Jayakumar menerima cenderahati daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans dan Takaful, Kamaludin Ahmad pada Majlis Persmian Projek Air Bersih Etiqa di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli telah mengarahkan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan audit terhadap seluruh aspek mengenai perkhidmatan air di negara ini.

Menurut menterinya, Dr. Xavier Jayakumar, antara aspek tersebut adalah pengurusan syarikat air, industri air di setiap negeri dan juga pencemaran.

“Setiap negeri ada masalah masing-masing dan berbeza antara satu sama lain.

“Jadi, kami akan mengumpulkan data-data tersebut bagi membangunkan satu perancangan jangka panjang untuk industri air negara dan memastikan bekalan air mencukupi,” semasa sidang media selepas melancarkan Projek Air Bersih Etiqa di sini hari ini.

Menurut Xavier, Malaysia tidak mempunyai pelan air jangka panjang untuk tempoh 25 hingga 50 tahun sebelum ini.

Tambahnya, isu gangguan bekalan air yang berlaku terutamanya di Selangor adalah disebabkan ketiadaan margin simpanan air untuk menampung penggunaan sekiranya berlaku sebarang masalah.

Pengguna menurut beliau tidak seharusnya mengalami gangguan bekalan air sekiranya terdapat sebarang masalah di loji rawatan atau pam air jika margin simpanan mencukupi.

Jadi, menerusi pelan tersebut akan membantu negara menangani pelbagai isu yang mengenai perkhidmatan air terutama apabila musim kemarau.

“Saintis-saintis menghantar laporan kepada saya mengenai tempoh kemarau akan menjadi lebih panjang selepas ini.

“Jadi, kita perlu bersedia supaya penggina tidak terjejas,” katanya lagi.-MalaysiaGazette