Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yusof berucap pada Majlis Pembentangan Ekonomi Malaysia 'Kini dan Masa Depan' di Dewan Persidangan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 JULAI 2019

KUALA LUMPUR- Kekuatan ekonomi Malaysia masih mampu untuk menyerap ketidaktentuan persekitaran global.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus, ekonomi Malaysi yang dipacu oleh pelbagai sektor di samping asas eksport yang luas dan sistem kewangan yang kukuh menjadi tunjang untuk menyerap tekanan luaran.

Selain itu, kadar tukaran asing yang fleksibel juga menjadi kunci untuk menahan daripada ketidaktentuan ekonomi global.

“Ringgit mula bergerak sejajar dengan matawang-matawang negara serantau yang lain dan mencerminkan perkembangan global.

“Rizab antarabangsa Bank Negara mencukupi untuk membiayai penyesuaian terurus pasaran kewangan,” katanya pada Simposium Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Depan di Parlimen hari ini.

Tambah Nor Shamsiah, dasar monetari yang diamalkan Malaysia akan terus membolehkan Bank Negara untuk menguruskan sebarang tekanan luaran secara terurus.

Jelasnya, ringgit yang fleksibel dan campur tangan bersasar dalam tukaran asing membolehkan ekonomi Malaysia bertahan daripada tekanan global dengan lebih baik.

Malah instrumen lindung nilai untuk perniagaan-perniagaan juga mampu menampung tekanan tukaran asing.

Dalam pada itu, aktiviti pembiayaan juga diteruskan untuk memudah cara aktiviti ekonomi.

Katanya, walaupun permohonan pinjaman semakin sederhana tetapi bank-bank tetap menunjukkan keinginan untuk memberi pinjaman.

Bank Negara mensasarkan pertumbuhan pinjaman sebanyak enam hingga tujuh peratus tahun ini.

Tambahnya, sejumlah RM201 bilion pinjaman telah disalurkan kepada bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala RM128 bilion disalurkan kepada PKS setakat Januari hingga Mei tahun ini.

“Pembiayaan masih kukuh dan bank-bank pula bersedia untuk memberi maklum balas kepada permintaan kredit,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast