Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2019

KUALA LUMPUR-  Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berkongsi pengalaman zaman kanak-kanak baginda termasuk detik ketakutan apabila kehilangan sijil kelahiran.

Raja Permaisuri Agong memberitahu, disebabkan mukanya yang sedikit mirip orang keturunan Cina, ayahanda baginda pernah memberitahu bahawa baginda dikutip dari tong sampah di Tong Shua (China)

Baginda juga diberitahu, kehilangan sijil kelahiran akan menyebabkan baginda dimasak dengan kari untuk dimakan bagi dilahir semula.

“Saya takut selama beberapa hari pada masa itu. Bayangkan mereka mahu potong saya dan masak dengan kari untuk dimakan semata-mata kerana kehilangan sijil kelahiran.

“Saya menangis dengan teruk dan terus menangis, takut dimasak dengan kari dan dimakan,” katanya dipetik Sinchew Daily dalam wawancara bersama media berbahasa Cina.

Hakikatnya,  Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mempunyai darah keturunan Guangdong (Canton) melalui Sultanah Fatimah atau nama asalnya Wong Ah Gew, isteri kepada Sultan Abu Bakar.

Pada 1885, Sultan Abu Bakar berkahwin dengan Sultanah Fatimah yang merupakan anak kepada seorang kangchu.

“Darah Cina saya boleh dijejak kepada Wong Ah Gew.

“Dia berasal dari keluarga yang sangat kaya. Dikatakan, mereka pada masa itu ialah hartawan di Singapura yang sangat kaya seperti babak dalam filem Crazy Rich Asian,” titah baginda dalam wawancara.

Tambah baginda, disebabkan akhirnya ketiga-tiga anak perempuannya berkahwin dengan kerabat diraja Johor, ia menyebabkan kangchu tersebut sangat marah pada satu ketika.

“Tetapi melihat Sultan Abu Bakar sangat menyayangi anaknya, kangchu ini akhirnya meninggalkan semua hartanya kepada Istana Johor.

“Oleh itu kalau melawat Muzium Johor, semua alat perak dan emak adalah milik Sultanah Fatimah, malahan barangan kemas yang saya pakai semasa perkahwinan juga adalah ditinggalkan Sultanah Fatimah,” titah Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semasa menceritakan sejarah keluarga baginda.

Raja Permaisuri Agong juga bercerita baginda menyembunyikan daripada ayahanda semasa didenda di sekolah kerana ayahnya yang “garang macam harimau” akan merotan.

Malahan, baginda semasa di sekolah menengah pernah meniru tandatangan ayah kerana keputusan yang tidak memuaskan dalam mata pelajaran sains dan matematik yang kurang diminati.

“Disebabkan takut dirotan ayah, saya menandatangani kad laporan dengan sendiri.

“Apabila ditanya ayah, saya memberitahu bahawa ayah sudah tandatangan tetapi terlupa telah berbuat demikian,” demikian cerita Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada wartawan.

Sementara itu, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga memberitahu, kerabat diraja Johor mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga Robert Kuok.

“Saya ingat lagi Robert Kuok pernah meminjam 3,000 daripada kami kerana memerlukan duit untuk berniaga.

“Saya tidak lagi ingat maklumat telitinya, tetapi nenek ada mengambil simpanan daripada Sultan Iskandar iaitu ayahanda saya untuk meminjam kepada Robert.”

Selain itu, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga menceritakan bagaimana seorang pekedai memanggil baginda sebagai kakak kerana tidak tahu identiti sebenar.

Jurujual bernama Keat itu hanya menyedari kesilapan diri selepas ditegur oleh isteri kepada seorang pemimpin politik di Pahang.

“Saya dan rakan ketawa kerana melihat muka terkejut Keat itu. Saya bagaimanapun memberitahu bahawa dia boleh terus memanggil saya kakak,” titah baginda.

Ditanya sama ada apakah gelaran yang paling digemari, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjawab tanpa berfikir panjang.

“Boleh panggil saya kakak, boleh juga panggil saya nenek dan nana, saya tiada masalah,” titah baginda. – MalaysiaGazette