KUALA LUMPUR – Ringgit Malaysia dijangka didagangkan berhati-hati antara paras 4.10 dan 4.13 berbanding dolar US minggu depan, berikutan pelabur sedang menunggu keputusan dua mesyuarat penting minggu depan iaitu perbincangan Amerika Syarikat (AS) dan China di Shanghai dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC).

Rakan kongsi pengurusan Vanguard Markets Pte Ltd Stephen Innes berkata, hasil perbincangan Shanghai merupakan titik sensitif kepada pelabur berikutan sedikit sahaja perubahan mampu mempengaruhi pasaran.

“Pertikaian perdagangan AS-China merupakan isu sensitif kerana keputusannya akan memberi kesan terhadap perniagaan di seluruh dunia,” katanya.

Berhubung mesyuarat FOMC, katanya ketika bank-bank pusat global mengurangkan unjuran dengan melaksanakan pengurangan kadar faedah, ringgit mempunyai peluang untuk naik lebih tinggi.

Perbincangan perdagangan AS-China akan berlangsung Selasa depan (30 Julai), manakala mesyuarat FOMC akan diadakan pada Selasa dan Rabu.

Sementara itu, Melaka Securities Sdn Bhd, dalam nota penyelidikan berkata, dengan faktor luaran kekal tidak menentu, mata wang tempatan menyusut kepada purata RM4.15/US$1.00 pada suku kedua 2019 (2Q2019) berbanding 4.09/US$1.00 pada 1Q2019.

“Sementara itu, harga minyak mentah meneruskan aliran meningkat, bergerak pada permulaan 2Q2019 selepas output OPEC menyusut bagi empat bulan berturut-turut pada Mac 2019,” katanya.

Pada 6.30 petang, penanda aras minyak mentah Brent berada pada paras US$63.69 setong.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar US susulan sentimen bagi pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan, pertikaian perdagangan AS-China dan pergerakan harga minyak.

Pada asas Jumaat-Jumaat, ringgit berada pada paras 4.1180/1210 berbanding 4.1100/1130 pada Jumaat minggu lepas berbanding dolar US.

Mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0091/0118 daripada 3.0236/0269 pada Jumaat minggu ini dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7905/7936 daripada 3.8165/8207.

Ia juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.1211/1265 daripada 5.1474/1519 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5879/5920 daripada 4.6184/6234. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast