Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Pengarah Urusan Serantau Shopee, Lan Ho (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif SimplySiti, Azuddin Rahman (kanan) melihat antara produk SimplySiti pada Majlis Pelancaran Kolaborasi ShopeeXSimplysiti di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Shopee Malaysia menyasarkan golongan wanita akan terus muncul sebagai penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan terutama dalam produk kecantikan dan kesihatan.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata ketika sebanyak 70 peratus jualan disumbangkan oleh produk wanita yang menjadi segmen terbesar dalam platform e-dagang itu.

“Kita yakin segmen wanita akan terus memacu pendapatan kumpulan dan seterusnya berada di kedudukan teratas dalam semua segmen dalam kalangan pesaing kami yang lain,” katanya selepas majlis kerjasama antara Shopee, SimplySiti dan CIMB Islamic Bank Bhd di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SimplySiti, Azuddin Rahman dan Presiden SimplySiti, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Menerusi kerjasama itu, peminat Datuk Siti Nurhaliza berpeluang mendapatkan tawaran menarik produk SimplySiti, tiket konsert mini Siti Nurhaliza pada 14 September ini dan berpeluang menikmati minum petang bersama penyanyi nombor satu negara itu.

Mengulas lanjut, Ho berkata, sejarah SimplySiti bersama platform Shopee bermula sejak usia kedai e-dagang itu beli mencecah satu tahun.

“Shopee bekerjasama dengan SimplySiti ketika kami baru mula bertapak dan kami berharap dapat berkembang bersama pada masa akan datang.

“Kami mahu membawa jenama Malaysia melangkah ke pasaran global terutama di Indonesia yang mempunyai 80 juta pengguna berbanding hanya tertumpu di pasaran Malaysia yang memiliki 20 juta pengguna,” katanya.

Sempena kerjasama itu, Shopee akan mengadakan SimplySiti Super Brand Day yang berlangsung dari 2 hingga 7 Ogos ini yang membolehkan pengguna mendapat potongan sehingga 60 peratus manakala pemegang kad kredit CIMB Islamic memperoleh potongan tambahan RM15 dan prabayar CIMB mendapat potongan RM10 dengan perbelanjaan minimum RM70.

Mengenai konsert mini Shopee X SimplySiti yang akan berlangsung pada 14 September ini, peminat boleh mendapatkan tiket di Shopee bermula 2 Ogos pada harga RM350 dan RM450.

Bagi menghargai peminat Siti Nurhaliza di laman Shopee, perbelanjaan minimum RM250 bagi produk SimplySiti sepanjang tempoh promosi Super Brand Day melayakkan menerima hadiah bernilai sehingga RM900 serta berpeluang minum petang bersama Siti Nurhaliza di Grand Hyatt Kuala Lumpur.

SimplySiti Super Brand Day dianjurkan sempena Shopee Brands Festival yang berlangsung dari 1 hingga 18 Ogos, dengan tawaran serendah RM1 setiap hari semasa Jualan Mengejut.

Shopee Malaysia kini merekodkan 20 juta pengguna dan mencatatkan 500,000 penjual aktif dalam platform digitalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast