KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana menumbuk mulut isterinya sehingga berdarah, bulan lepas.

Majistret Tawfiq Affandy Chin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Helmay Mat Saad, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 25 Julai.

Mohd Helmay didakwa mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang berumur 29 tahun dengan menumbuk mulut wanita itu sehingga berdarah di sebuah flat di Jinjang, di sini, pada 1.30 tengah hari, 22 Jun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rajdeep Singh memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tertuduh tidak lagi mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia penanggung utama keluarga dan mempunyai enam orang anak.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku selepas mangsa meminta suaminya pulang ke rumah tetapi tertuduh marah tanpa sebab dan akibat tidak berpuas hati dengan isterinya tertuduh bertindak menumbuk mulut wanita itu. – MalaysiaGazette