Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digesa supaya meneruskan usaha pencarian dua anggota tentera darat dari Sarawak yang hilang ketika bertugas di Pulau Perak, Kedah pada 19 Julai lalu.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu) bahawa usaha pencarian itu telahpun dihentikan pada 26 Julai lepas.

“Dewan Pemuda IKATAN Malaysia meminta penjelasan lanjut daripada pihak menteri mengenai proses pencarian yang hanya dilakukan selama lapan hari.

“Pengumuman oleh menteri yang menghentikan pencarian dalam tempoh masa yang singkat juga secara tidak langsung memberikan mesej yang tidak baik kepada anak muda yang ingin menyertai angkatan tentera sebagai wira negara.

“Adakah mereka juga akan ditinggalkan dalam tempoh yang singkat jika hilang?” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shahir yang mewakili Pemuda Gagasa Sejahtera turut mendesak Menteri Pertahanan menyatakan solusi yang akan diterapkan dalam latihan ketenteraan di Pulau Perak bagi mengelak perkara sama berulang.

Tegasnya, insiden pada tahun 2016 dan 2019 seakan-akan insiden yang sama apabila dua orang wira negara hilang sewaktu menjalankan latihan ketenteraan.

“Ini adalah penting untuk menjamin keselamatan anggota tentera kita,” ujarnya.

Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (RRD) iaitu Koperal David Edmund Rapi, 39, dari Dalat dan Lans Koperal Moses Logers, 25, dari Bau, Sarawak dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas operasi di Pulau Perak.

Kehilangan anggota itu dikesan pada lewat malam 19 Julai lalu ketika ketua penempatan membuat pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast