SHAH ALAM – Polis menafikan telah menahan pasangan suami isteri yang disyaki mengedar risalah berkaitan ajaran agama Kristian di Klinik Kesihatan Bukit Kuda, Klang dekat sini, semalam, sebagaimana yang ditularkan oleh media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata, polis hanya mengambil keterangan daripada kedua-dua pasangan berusia lingkungan 70-an itu selepas menerima aduan daripada orang ramai pada kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati pasangan itu merupakan penganut agama Kristian dan mereka tidak mengetahui bahawa tindakan mengedarkan risalah agama lain kepada penganut agama Islam adalah salah di sisi undang-undang.

“Pasangan itu mendakwa risalah itu tidak akan diberikan sekiranya seseorang itu menolak dan mereka juga memberitahu bahawa tujuan mereka mengedar risalah itu adalah sebagai mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nurulhuda, siasatan lanjut pihaknya mendapati, pasangan itu bertindak mengedarkan risalah berkenaan atas kapasiti peribadi dan bukan dibelakangi oleh mana-mana pihak, dan mereka memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh siasatan dijalankan dan telah dinasihati agar tidak mengulangi perbuatan itu.

Terdahulu tular satu maklumat di media sosial semalam mengenai kononnya polis menahan seorang wanita mubaligh Kristian yang berumur lingkungan 60an kerana mengedar risalah agama kepada orang ramai termasuk mereka yang beragama Islam di klinik kesihatan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast