Reaksi ceria Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 30 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Sempena pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertan Agong ke-16 hari ini, rakyat memanjatkan doa agar baginda dan Raja Permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sentiasa diberikan kesihatan untuk melaksanakan tanggungawab sebagai ketua negara.

Meskipun tidak dapat melihat istiadat pertabalan hari ini secara langsung, namun Mazlina Mansor, 42 yang meluangkan masa dari Nibong Tebal ke Muzium Diraja melahirkan rasa kagum di atas kehebatan pimpinan Al-Sultan Abdullah  menerajui negara.

MGF30072019_Human Interest Pintu Istana_17
Mazlina Mansor

“Setiap agong ada perbezaan dan kelebihan dan keistimewaan. Meskipun tidak sama perwatakan tapi pelaksanaan tetap akan sama sebagai ketua negara, supaya rakyat percaya dan yakin dengan agong.

“Agong kita yang sekarang kakak gambarkan sebagai yang mempunyai kepimpinan baik, berjiwa rakyat dan boleh menerajui Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kamaruddin Zulkefli, 32, pula menyifatkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sosok yang sangat mesra dengan rakyat.

Kemesraan pasangan diraja itu, katanya, terserlah menerusi lenggok tutur bicara dan sifat peramah yang tidak canggung berkomunikasi dengan rakyat jelata.

MGF30072019_Human Interest Pintu Istana_18
Kamaruddin Zulkefli

“Agong kita sangat peramah, selalu membantu orang ramai. Permaisuri pun dengan kanak-kanak pun suka, sekurang-kurangnya dilihat tidak ada sikap sombong langsung. Kita sebagai rakyat sempena pertabalan ini mendoakan Agong dan permaisuri sihat walafiatnya,” katanya.

Badrul Syam Mat Desa pula bangga kerana Al-Sultan Abdullah dan permaisuri sering turun padang demi menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

MGF30072019_Human Interest Pintu Istana_15
Badrul Syam Matt Desa,

“Kebanyakan Agong kita pun memang mesra rakyat, pergi melawat rakyat ketika rakyat susah.

“Contoh Agong kita sekarang ketika banjir akan melawat mangsa,” kata pemuda yang berusia 40 tahun itu.

Bagi Hashimah Hashim, 55, biar pun melihat dari jauh, namun Al-Sultan Abdullah sememangnya tidak asing dalam kalangan rakyat dan dilihat mewarisi jiwa Sultan Ahmad Shah yang sentiasa mendekati rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Kita kenal agong daripada ayahandanya yang kita tahu berjiwa rakyat.

“Insyallah nampak jelas Al-Sultan Abdullah dan permaisuri berjiwa rakyat yang juga kerabat raja Johor sentiasa dekat dengan rakyat,” ujarnya.

MGF30072019_Human Interest Pintu Istana_16
Hashimah Hashim

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam suasana penuh istiadat gilang-gemilang, lambang kemegahan sistem raja berperlembagaan yang menjadi amalan di negara ini.

Istiadat Pertabalan Sultan Abdullah mencatat sejarah apabila pasangan diraja itu masing-masing merupakan anakanda kepada YDPA ketujuh iaitu Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (1979-1984) dan Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan (1984-1989). -MalaysiaGazette