Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Perak dan Peguam Negara didesak supaya mendedahkan status terkini kertas siasatan kes rogol Exco negeri itu terutama membabitkan laporan pakar forensik dan perubatan,

Desakan yang dibuat oleh Pergerakan Pemuda UMNO bersandarkan kes membabitkan Paul Yong adalah kes berprofil tinggi yang membabitkan pemimpin kerajaan negeri dan hubungan dengan negara jiran.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pihaknya turut melahirkan rasa kerisauan dan kebimbangan dengan dakwaan yang sedang berlegar dalam media sosial bahawa laporan pakar forensik dan perubatan dalam kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Paul hilang.

Begitu juga dengan kenyataan media Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie, semalam yang menggesa Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, memberi penjelasan yang sepenuhnya dan meminta maaf kepada mangsa dan rakyat jelata kerana kertas siasatan kes rogol dikembalikan akibat polis gagal melampirkan laporan pakar forensik dan perubatan.

“Mengikut laporan media pada 16 Julai, Ketua Polis Perak telah menghantar kertas siasatan kes rogol ini kepada Pengarah Pendakwaan Negeri pada 14 Julai lagi.

“Malah beliau juga menyebut polis berjaya melengkapkan siasatan ke atas Paul Yong dalam tempoh 24 jam sahaja menandakan kes ini adalah satu kes mudah yang ‘clear-cut’.

“26 Julai lalu, Ketua Polis Perak sendiri mengakui bahawa kertas siasatan kes rogol yang dikemukakan kepada Pendakwa Raya telah dikembalikan kepada pihak polis bagi mendapatkan laporan daripada pakar perubatan dan Jabatan Kimia.

“Mengapa terlalu lama laporan daripada pakar perubatan dan jabatan kimia ini disiapkan?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Asyraf juga mecabar ketua, timbalan ketua dan naib-naib ketua wanita DAP seperti Chong Eng, Teo Nie Ching, Hannah Yeoh dan Jannie Lasimbang, khususnya Hannah Yeoh selaku timbalan menteri wanita, supaya menyatakan pendirian mereka mengenai kes rogol ini.

“Tindakan mereka berdiam diri dalam kes ini membuktikan mereka adalah rasis sebenar!,” dakwanya. – MalaysiaGazette