Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) didesak mengambil tindakan ke atas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan dakwaan kontroversinya yang menyokong pendirian UMNO dan Pas supaya Tun Dr Mahathir Mohamad terus menerajui kerajaan sehingga habis penggal.

Tindakan Timbalan Presiden PKR itu disifatkan sebagai terdesak dan tidak matang, apatah lagi menggunakan logo kerajaan Persekutuan dalam kenyataannya bagi menyokong pendirian pembangkang.

Pengerusi Otai Reformis 98 Sabah, Datuk Dr. Sangkar Rasam
berkata, Azmin telah melampaui kuasanya sebagai Timbalan Presiden PKR, Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi apabila menyanggah serta tidak menghormati keputusan PH berkenaan isu peralihan kuasa yang telah dimuktamadkan secara konsensus.

Konsensus itu telah diputuskan oleh keempat-empat parti – empat part – PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) pada 7 Januari 2018 dan diumum pada Konvensyen PH 2018.

Malah, Dr Mahathir juga menyatakan akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua tahun.

Selain itu, katanya lagi, rekod kehadiran Azmin dalam mesyuarat parti yang mendukacitakan turut menunjukkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mengkhianati mandat majoriti ahli yang menerimanya sebagai orang nombor dua parti.

“Pihak kami agak terkilan selepas mendengar kenyataan daripada Setiausaha Agung KEADILAN, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail berkenaan rekod kehadiran mesyuarat Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang amat-amat mendukacitakan.

“Dalam mana-mana pertubuhan yang berdaftar, kehadiran mesyuarat amat penting bagi memutuskan dasar dan hala tuju dapat dilakukan dengan lancar dan berkesan.

“Azmin mengambil sikap tidak bertanggungjawab serta tidak mengambil serius terhadap peranan besar beliau selaku Timbalan Presiden yang disandangnya sejak 17 November 2018.,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sedangkan mengikut Perlembagaan PKR di bawah Fasal 21.16 yang dengan jelas menyatakan mana-mana Ahli Majlis Pimpinan Pusat yang mungkir menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Majlis Pimpinan Pusat dan Majlis Pumpinan Pusat berhak menguatkuasakan Fasal ini.

Lantaran itu, Sangkar kesal kerana Lembaga Disiplin PKR tidak mengambil serius pencabulan perlembagaan parti seperti ini.

Tegasnya, Azmin sudah layak digantung daripada jawatan berkenaan kerana tidak menghormati mandat ahli serta melanggar Fasal 21.16 Perlembagaan PKR.

“Sepatutnya jika Azmin Ali sudah tidak berminat menjadi timbalan presiden dan tidak mampu menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan, beliau seharusnya meletakkan jawatan secara terhormat dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan pengganti yang lebih layak menggalas tugas yang akan diamanahkan,” tambahnya.

Menurut beliau, tindakan Azmin ini juga telah menimbulkan kegusaran di kalangan pimpinan PH yang melihatnya sebagai seorang tamak yang cuba mengulangi langkah beliau yang pernah mencantas mantan Presiden PKR, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar melalui “pintu belakang”.

“Sikap Azmin Ali ternyata memberi kesan negatif persepsi rakyat terhadap kerajaan Harapan serta memburukkan imej Harapan apabila Azmin dilihat seolah cuba menggagalkan perjanjian peralihan kuasa telah pun dimuktamadkan sebelum Harapan berkuasa.

“Ia merupakan amalan yang tidak sihat dalam sesebuah organisasi yang akan membuatkan rakyat muak dengan cara politik kotor dan akan menjadi punca rakyat menolak Harapan pada PRU15 akan datang.,” kata Sangkar. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.