Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya berdiam diri dengan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengatakan bahawa tidak ada atau tidak wujud tanah adat Orang Asli di bawah undang-undang tubuh negeri itu.

Kenyataan Ahmad Faizal itu bukan sahaja berniat jahat dan satu berbentuk penafian, selain tidak menghormati Orang Asli dan manifesto yang dibuat PH.

Pengerusi Penyelaras Gerakan Jaringan Kampung Orang Asli Perak, Tijah Yok Chopil mengingatkan Ahmad Faizal bahawa Orang Asli tidak pernah dilibatkan dalam proses pembentukan undang-undang tubuh kerajaan Negeri Perak dan Pembentukan Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana akta yang ada di negeri atau negara ini, hatta Akta Orang Asli 134.

Semua keputusan penentuan undang-undang dan akta dibuat hanya melibatkan pegawai kerajaan dan pihak-pihak lain – tanpa melibatkan pihak komuniti atau perwakilan terutamanya Orang Asli.

Disebabkan itu, hanya sebelah pihak yang membentuk dan merangka undang-undang tersebut, sudah pasti keputusan mereka akan berpihak kepada mereka dan pihak yang berkepentingan sahaja.

Atas faktor itu, Tijah berkata, kerajaan juga tidak boleh membiarkan menteri besar itu membuat kenyataan dan keputusan sesuka hati berhubung Orang Asli atau mana-mana kaum dalam negara itu kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham dan ketidakadilan.

Serentak itu, beliau menggesa Ahmad Faizal menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada semua Orang Asli dalam negara ini.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau berkata, kenyataan dan tindakan Ahmad Faizal itu sama sekali bertentangan dengan manifesto PH yang kononnya prihatin dengan isu Orang Asli dan berjanji untuk mengiktiraf tanah adat.

Menurutnya, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dahulu, PH bermati-matian meminta sokongan daripada rakyat dan setelah mendapat sokongan majoriti dan membentuk kerajaan, Orang Asli pula ditindas dengan memberi alasan kuasa tanah kuasa kerajaan negeri.

“Sedangkan pendirian dan harapan kami sangat tinggi kami letakkan kepada kerajaan PH kerana setelah sekian lama ramai dalam kalangan pemerintah adalah mereka yang bersama-sama dengan kami dalam menuntut hak orang asal khusus nya dan hak asasi manusia amnya,” katanya.

Jika alasan kuasa tanah adalah kuasa penuh kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak boleh campur tangan dalam urusan kerajaan ini, Tijah menyarankan Kerajaan Pusat dan juga menteri berkaitan menasihatkan kerajaan negeri dalam hal ini.

“Sebagai seorang menteri besar sudah pasti terdapat orang bijak pandai dalam lingkungannya tetapi kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Faizal hanya untuk membenarkan tindakan dan pendirian yang memihak pendirian mereka,” ujarnya yang turut mengingatkan menteri besar itu agar jangan perjudikan masa depan PH dengan keangkuhan sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast