KUALA LUMPUR- Syarikat tenaga diperbaharui, Biotek Dinamik Sdn. Bhd. akan melabur sebanyak RM350 juta bagi menghasilkan gas asli mampat bio (bioCNG) di kilang-kilang minyak sawit milik FGV Palm Industries Sdn. Bhd. (FGVPI).
FGVPI merupakan anak syarikat tidak langsung FGV Holdings Bhd. (FGV).
Menurut Pengarah Urusan Biotek Dinamin, Eddy Yap Wai Hong, syarikat berkenaan akan melaburkan sejumlah RM7 jta untuk membangunkan kilang bioCNG di kawasan yang telah dibangunkan (brownfield) manakala RM11 juta hingga RM12 juta lagi untuk membina kilang biogas dan bioCNG di kawasan belum dibangunkan (greenfield).
“Kami akan melabur kira-kira RM350 juta untuk projek ini,” katanya semasa sidang media selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara Biotek Dinamik, FGV dan Sime Darby Energy Solutions di sini hari ini.
Menurut Eddy, kilang pertama bioCNG dijangka siappada suku kedua tahun depan.
Di bawah MoU tersebut, Biotek Dinamik akan bertindak sebagai pemaju projek, pemilik dan pengendali kilang-kilang bioCNG dan biogas manakala FGVPI akan menyediakan kawasan kilang dan bekalan biogas dan POME.
Sime Darby Energy Solutions pula akan menyediakan perkhidmatan rekaan dan pembinaan serta sokongan penyenggaraan berterusan untuk projek tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, projek tersebut membolehkan syarikat peladangan terbesar negara itu menjana pendapatan daripada biomas.
Malah, FGV mungkin menjadi kawasan pengeluaran bioCNG terbesar di dunia.
“BioCNG berpotensi untuk menggantikan diesel sebagai bahan api kenderaan dan juga kegunaan industri.
“FGV ketika ini menjana kira-kira 170 juta meter padu biogas setahun daripada 30 kawasan kilang yang juga bersamaan dengan satu hingga 1.5 juta liter diesel,” katanya.
Tambah Haris, projek tersebut juga dijangka dapat menjana jumlah yang besar kepada kumpulan dan dalam masa yang sama membantu kerajaan mencapai sasaran tenaga diperbaharui sebanyak 20 peratus menjelang 2020. – MalaysiaGazette