KUALA LUMPUR – Polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang tindakan atau spekulasi berhubung penyebaran memo yang menafikan umat Islam bersolat semasa waktu kerja.

Spekulasi itu boleh menjejaskan keharmonian agama negara ini, kata Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh.

Menurutnya, polis telah menerima satu laporan polis dibuat oleh pengurusan syarikat berkaitan penyebaran memo yang tidak membenarkan kakitangan Islam untuk bersolat waktu bekerja kecuali waktu makan.

Memo berkenaan bertarikh 30 Julai 2019.

Menurut memo berkenaan, sekiranya kakitangan melanggar arahan ini, denda sebanyak RM500 akan dikenakan.

“Pihak pengurusan syarikat ini menafikan bahawa mereka telah mengeluarkan memo tersebut dan dipercayai memo yang disebarkan itu adalah palsu kerana tidak mempunyai tandatangan serta tidak melalui proses surat menyurat dalaman organisasi.

“Pihak PDRM telah memanggil pengadu dan mengambil keterangan berhubung penafian syarikat dalam mengeluarkan memo tersebut kepada kakitangan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette