PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau ada membuat pertemuan rahsia dengan pemimpin pembangkang termasuk dari Sarawak pada 30 Julai lalu.
Katanya, memang beliau ada membuat pertemuan dengan pemimpin Sarawak itu namun enggan memperincikan siapa yang membuat jemputan berkenaan.
“Saya tidak tahu, barangkali kot. Saya dah jumpa dengan dia, tidak ada perjumpaan rahsia,” katanya menjawab kenyataan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Abang Johari Openg bahawa GPS dijemput oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu di Putrajaya.
Kenyataan tersebut dilihat bercanggah apabila Dr Mahathir sebelum ini mengakui berjumpa dengan pemimpin pembangkang namun memberi gambaran bahawa mereka yang meminta untuk bertemu dengannya.
“Mereka datang jumpa saya, jadi saya jumpa mereka. Saya dengar apa yang mereka nak kata. Ramai antara mereka menyatakan sokongan kepada saya. Terima kasih banyak,” kata Dr Mahathir.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, Abang Johari Openg berkata, perjumpaan pada 30 Julai lalu di Putrajaya adalah selepas mendapat jemputan perdana menteri.
“Apa yang terjadi adalah, ada jemputan daripada perdana menteri (kepada GPS) dan (kepada) parti lain.
“Mereka cuma mahu berbual, itu saja. Tak lebih daripada itu,” katanya hari ini.
Laporan The Star yang memetik sumber menyatakan pemimpin pembangkang berjumpa Dr Mahathir pada Selasa lalu bagi menyatakan sokongan terhadap cadangan untuk beliau menjadi perdana menteri selama sepenggal.
Antara yang hadir bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Naib Presiden Pas, Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof. -MalaysiaGazette
Artikel berkaitan