Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak melahirkan kebimbangan industri takaful negara ini terancam selepas harga saham syarikat takaful berterusan jatuh selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi lesen kepada FWD Takaful Bhd untuk mula beroperasi dalam negara minggu lalu.

Operasi entiti itu didakwa menyebabkan ramai pelabur rasa kurang yakin dengan Syarikat Takaful Malaysia untuk bersaing dengan syarikat FWD yang mempunyai sokongan yang amat kuat.

Najib mengulas kejatuhan saham Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dua hari lalu susulan berita pelancaran FWD Takaful Berhad.

Menurut Bloomberg, tujuh penganalisis memerhatikan saham syarikat ini, dengan dua membuat panggilan belian, empat ‘tunggu’ dan satu panggilan jual dengan harga sasaran RM7.06 sesaham.

Syarikat FWD Takaful yang baru dilancar dimiliki 49 peratus Pacific Century Group, yang dikuasai oleh anak taikun paling kaya di Hong Kong. Baki 31 peratus milik syarikat Robert Kuok dan 20 peratus lagi oleh KWSP.

Pacific Century juga juga memiliki kepentingan dalam FWD melalui FDW Life Insurance Company (Bermuda) Ltd.

Syarikat Takaful Malaysia yang sudah beroperasi lebih dari 30 tahun dimilik oleh Bank Islam manakala Bank Islam pula dimiliki dan dikuasai oleh Tabung Haji.

Malah, Bank Islam merupakan antara pelaburan paling besar bagi Tabung Haji.

“Ya, kita memang perlukan pelabur asing tetapi kena jaga juga kepentingan syarikat-syarikat tempatan kita.

“Sejak PRU14, Menteri Kewayangan sudah memberi laluan untuk syarikat Great Eastern dari Singapura untuk mengendalikan skim insurans B40 yang digelar MySalam.

“Minggu ini pula, BNM telah membenarkan syarikat RHB Insurance dijual sepenuhnya kepada syarikat Jepun untuk harga sekitar RM2 bilion.

“Saya bimbang bahawa indusri insurans kita akan dikuasai penuh oleh syarikat-syarikat asing,” ujarnya. – MalaysiaGazette