Dr.Zakir Naik
Dr. Zakir Naik

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh melahirkan rasa terkejut kerana ada pihak yang menyamakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik.

Malah dengan mendesak Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Putri itu meninggalkan Malaysia dan membela Zakir Naik yang dikehendaki pihak berkuasa India pada masa kini sungguh melucukan buat Ramkarpal.

Kelmarin, Ahli Parlimen Pasir Mas (Pas), Ahmad Fadhli Shaari menyarankan pemimpin veteran itu untuk meninggalkan Malaysia setelah gagal memahami perlembagaan persekutuan dengan meminta Zakir Naik meninggalkan Malaysia dengan sukarela.

MGF27032019_SIDANG PARLIMEN_51
Lim Kit Siang

Kata Ramkarpal, Kit Siang hanya bersetuju dengan pendapat penulis  Anas Zubedy sebelumnya supaya pendakwah bebas antarabangsa itu meninggalkan negara ini.

“Saya sendiri pernah mendesak supaya kita mengektradisi Zakir Naik sebelum-sebelum ini.

“Kit Siang sebenarnya hanya meluahkan pandangan bahawa beliau juga bersetuju dengan pandangan Anas Zubedy supaya pendakwah bebas antarabangsa itu meninggalkan negara ini bagi menjaga keharmonian berbilang kaum di negara. Jadi apa salahnya?

“Ingat, tidak ada sebab musabab yang cukup konkrit supaya Kit Siang meninggalkan negara yang telah beliau tabur jasa selama lebih 50 tahun sebagai warganegara. Bagaimana pula dengan Zakir Naik?

“Beliau bukan warganegara kita, beliau adalah pendakwah yang dikehendaki oleh negaranya sendiri dan apakah sumbangan beliau kepada negara kita? Walaupun di kehendaki oleh negaranya sendiri, beliau tidak sunyi daripada kontroversi termasuk di negara ini,” katanya.

Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

Ramkarpal yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP menulis sedemikian dalam laman sosial Facebook beliau berikutan kenyataan pimpinan Pas itu semalam.

Jelas Ramkarpal lagi, kenyataan Ahmad Fadhli itu sebenarnya tidak lebih daripada kebudak-budakan serta tidak matang kerana cubaan untuk memesongkan isu utama Zakir Naik yang masih lagi terus tinggal di sini walaupun di kehendaki di India pada masa ini.

Ahmad Fadhli sebelum ini melahirkan rasa dukacita dengan pandangan Kit Siang di mana beliau sewajarnya telah mana memahami Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara ini yang membenarkan agama Islam disebarkan kepada bukan Islam dan bukan sebaliknya.

“Menyifatkan bahawa pendekatan Zakir Naik kurang sesuai dengan negara ini kerana boleh menyebabkan bukan Islam memeluk Islam ialah satu alasan yang dangkal.

“Zakir Naik tidak pernah memaksa mana-mana pihak menerima pandangannya, beliau hanya berhujah dengan menggunakan kaedah pembandingan agama dan terpulanglah kepada mana-mana pihak untuk menerima atau menolaknya.

“Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, tiada sebarang alasan untuk menyatakan bahawa pendekatan Zakir Naik itu tidak sesuai untuk negara ini.

“Jika adapun yang perlu keluar dari Malaysia, orang itu ialah Lim Kit Siang yang gagal memahami Perlembagaan Persekutuan dan bukannya  Zakir Naik. Malaysia lebih beruntung jika orang seperti ini tiada di bumi Malaysia,” jelas Ahmad Fadhli.

Sementara itu, lebih 60,000 pengundi dalam sebuah undian melalui akaun Fakir Ilmu di laman sosial Facebook mengundi supaya Kit Siang keluar meninggalkan negara berbading hanya 1,7000 tidak bersetuju.

“Memandangkan Lim Kit Siang meminta Zakir Naik keluar secara sukarela dari Malaysia, maka kami di Fakir Ilmu hendak buat undian, siapa hendak Lim Kit Siang keluar dari Malaysia dan Dr. Zakir Naik kekal di Malaysia,” kata keterangan undian tersebut yang akan tamat dalam tempoh lima hari dari semalam. –MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/02/kit-siang-patut-pulang-ke-negara-asal-bukan-dr-zakir-naik/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/02/dap-tidak-perlu-tekan-kerajaan-ekstradisi-zakir-naik/