Suasana di PPR Kampung Kerinchi cemas apabila lif dari tingkat 5 terhempas dan mencederakan lapan penghuni.
KUALA LUMPUR – Malang tidak berbau apabila lapan orang cedera dan empat daripadanya patah kaki dalam kejadian lif terhempas dari tingkat lima sebuah pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Kerinchi di sini.

Berikutan kejadian itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.36 petang dan seramai 18 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan Seputeh dikejarkan ke lokasi kejadian.

 

“Setiba di lokasi, bomba mendapati sebuah lif terhempas dari tingkat lima ke tingkat bawah bangunan dan terdapat lapan mangsa yang terperangkap di dalam lif berkenaan,” kata kenyataan PGO Bomba Kuala Lumpur.

Mangsa terdiri daripada enam lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.

Foto JBPM

Foto JBPM

Empat mangsa lelaki termasuk kanak-kanak itu mengalami kecederaan patah kaki manakala mangsa selebihnya mengalami kecederaan bahagian pergelangan kaki.

“Kesemua mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Foto JBPM

Foto JBPM