Rais Yatim
Tan Sri Dr. Rais Yatim.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, kerajaan tidak perlu mewajibkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara.

Menurut beliau, tulisan jawi hanyalah sebahagian daripada seni dan ia merupakan perkara yang langkah itu dilihat tidak perlu buat masa ini.

“Tidak perlu paksaan dalam semua buku teks sekolah. Terpenting ialah bahasa Kebangsaan maju dan utama.

“Khat skrip jawi sebahagian seni justeru tak perlu diwajibkan,” katanya merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mengujakan cadangan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Jumaat lalu.

Difahamkan Kumpulan pendesak Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) akan menganjurkan himpunan Isnin ini bagi membantah penambahan seni khat jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular yang dirancang dilaksanakan mulai tahun depan.

Himpunan itu akan diadakan di Ibu pejabat Dong Jiao Zong di Jalan Bukit, Kajang.

Mengulas mengenai itu, Rais berkata kerajaan harus mengambil pendekatan untuk memahami tingkah laku yang akan dipamerkan kumpulan berkenaan.

Jelasnya, kumpulan ini perlu diketengahkan mengenai faedah cadangan itu kepada mereka.

“Reaksi Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina perlu difahami dalam konteks faedah intra-budaya masyarakat sahaja,” katanya lagi.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat pada tahun hadapan. -MalaysiaGazette