Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor. foto SYAFIQ AMBAK, 21 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menuntutnya membayar wang berjumlah RM57.17 juta terhadap cukai pendapatan yang tidak dibayar sejak  2012 sehingga 2017.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Tengku Adnan yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO sebagai defendan.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Kerajaan Malaysia  mendakwa Tengku Adnan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Ia berkata Notis Taksiran itu telah dihantar secara Akuan Terima Berdaftar (A.R) kepada defendan pada 20 Mac lepas ke alamat terakhirnya dan Notis Taksiran itu telah diterima dan ditandatangani pada 22 Mac lalu melalui pengembalian semula kad kuning Akuan Terima Berdaftar.

Kerajaan Malaysia mendakwa, oleh kerana Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2012 sehingga 2017 itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.

Plaintif berkata, defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 itu menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Kerajaan Malaysia mendakwa sehingga kini defendan masih  gagal membayar amaun cukai pendapatan  yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05  (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu Kerajaan Malaysia menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima  peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 8 Ogos di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada  Ramli.

Tengku Adnan kini menghadapi dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi, di sini iaitu masing-masing menerima wang RM2 juta dan RM1 juta yang mana satu kesnya pada peringkat perbicaraan manakala satu kes lagi ditetapkan perbicaraan pada 3 September.

Pada 25 Jun lepas Kerajaan Malaysia melalui LHDN menfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menuntutnya membayar  cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 30 Ogos  di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurliana Ismail. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast