GEORGE TOWN – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sedang meneliti beberapa cadangan bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan itu sedang diteliti oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebelum dipertimbangkan di peringkat kementerian-kementerian berkaitan.
“Kita mengambil maklum bahawa keperluan lapangan terbang ini untuk jangka panjang, baik untuk negara dan juga Utara Semenanjung termasuk Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Kita lihat sebagai contoh banyak aktiviti ekonomi di antara Selatan Thailand dengan melalui Pelabuhan Pulau Pinang.
“Sudah tentu kapasiti ini pada satu masa nanti ia akan memerlukan kerja-kerja menaik taraf dan pembesaran sama ada Pelabuhan Pulau Pinang ataupun Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Kos Sederhana Rendah Casa Anggun Sungai Nibong, di sini hari ini.
Beliau berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang itu bakal mewujudkan satu pertumbuhan ekonomi yang memberikan kebaikan kepada semua negeri-negeri di Utara Semenanjung.
Ditanya mengenai Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang didakwa membantah cadangan itu, Mohamed Azmin berkata, itu bukan bantahan sebaliknya Chow memberikan pandangan.
“Pandangan ini memang sedang dibincangkan, projek ini melengkapi antara satu sama lain. Negeri Pulau Pinang ada kekuatannya dengan Pelabuhan Pulau Pinang dan lapangan terbang. Tapi kita sedia maklum LTAPP pun sudah sampai satu tahap kapasiti yang maksimum. Untuk melakukan pembesaran ada perkara yang kita perlu pertimbangkan,” katanya.
Sebelum ini, Chow dilapor berkata, pembinaan KXP dijangka akan menjadi saingan dan mengurangkan kadar penggunaan kemudahan infrastruktur kargo di LTAPP dan akan mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.
Pada Mac lalu, Mohamed Azmin mengumumkan kerajaan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.
Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi berbeza daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang berpendapat pembinaan KXP di lokasi hanya kira-kira 60 kilometer dari Pulau Pinang akan memberi impak negatif kepada LTAPP dan negeri. – Bernama