Dr. Dzulkefly Ahmad

TEMERLOH – Lapan anggota polis disahkan menerima rawatan kerana mengadu tidak sihat selepas terlibat dalam pemeriksaan di kawasan penemuan 15 tong dipercayai berisi bahan kimia sodium sianida di Karak, Bentong dekat sini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat daripada mereka kini masih berada di wad Hospital Bentong bagi tujuan pemantauan selama 48 jam.

“Mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Begitu juga empat lagi anggota yang menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Karak… semua mereka stabil dan telah melepasi tahap bahaya,” katanya.

Dr Dzulkefly ditemui selepas merasmikan Program Kampungku Sihat di Kampung Padang Lalang di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir yang juga Ahli Parlimen Temerloh dan Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan simpton yang dialami anggota polis berkenaan, sebaliknya berkata antara gejala awal keracunan bahan kimia itu ialah muntah.

Bernama semalam melaporkan penemuan 15 tong hitam berisi bahan kimia itu yang sering digunakan dalam perlombongan emas, dalam ladang kelapa sawit di Karak pada Khamis lalu.

Pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mendapati bahan kimia itu dalam keadaan pepejal dan tiada kewujudan wap gas sianida di kawasan itu, walaupun sifat bahan kimia itu akan mengeluarkan gas jika bertindak balas dengan air.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata pihaknya sedang menyiasat asal bahan itu, termasuk membuat pemeriksaan di sebuah lombong emas terdekat di Kampung Cinta Manis, Bentong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast