Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang mengakui pernah mempelajari Jawi dan ia tidak menjejaskan beliau sebagai seorang bangsa Cina.

Penasihat parti DAP itu berkata, beliau mempelajari Jawi semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1969.

“Mungkin satu lagi soalan yang perlu ditanya ialah sama ada orang yang belajar Jawi adalah mengkhianati bangsa, bahasa dan budaya Cina.

“Kepada saya, jawapannya adalah negatif.

“Semasa kali pertama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1969, saya mempelajari Jawi dalam tahanan. Ia tidak menyebabkan kecinaan saya berkurangan dan membantu saya menjadi lebih Malaysia,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menerusi blognya.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika pemimpin-pemimpin DAP menentang pengenalan mata pelajaran tersebut untuk murid-murid Tahun 4 mulai tahun depan.

Malah, parti itu juga merancang untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan lebih lanjut mengenai keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan.

Kit Siang berkata, orang ramai tidak sepatutnya melihat pengenalan Jawi sebagai asimilasi budaya kerana tulisan khat adalah usaha yang dilaksanakan supaya murid-murid sekolah mengenali identiti dan budaya negara ini.

Sebagai contoh, tulisan Jawi terdapat pada nota ringgit, lambang senjata Malaysia dan lambang di pelbagai negeri.

“Saya harus mengakui bahawa saya tidak menyedari terdapat tulis Jawi dalam nota ringgit. Ini menyebabkan saya melihat nota rupee India yang bukan hanya mempunyai skrip rasmi Hindi, tetapi juga bahasa rasmi serantau lain seperti Tamil, Telegu, Marathi, Urdu, Malayanam, Gujarati, Bengali, Punjabi dan Kannada.

Beliau berkata, Malaysia kini seolah-olah terperangkap dalam situasi luar biasa, yang mana jika tidak ditangani akan membawa kepada perpecahan yang lebih besar, kemerosotan dan kegagalan untuk memanfaatkan nilai dan kualiti terbaik tamadun Islam, Cina, India dan barat dalam membina sebuah negara Malaysia yang hebat.

“Keadaan luar biasa ini ialah apabila orang Melayu merasa terancam, orang Cina merasa terancam, kaum India merasa terancam, orang Kadazans merasa terancam dan orang-orang Iban merasa terancam.

Setiap komuniti meyakini budaya dan etniknya menghadapi ancaman eksistensialisme (falsafah yang membawa makna manusia adalah bebas).

“Bukan sahaja pelbagai bangsa merasai diancam, Islam merasai diancam dan agama bukan Islam merasai diancam.

“Rakyat Malaysia mesti bangunkan keyakinan diri untuk “menjangkau bintang-bintang”, semangat “Malaysia Boleh” yang baharu, untuk mengusir pelbagai kebimbangan dan syaitan yang dibangkitkan atau khayalan supaya Malaysia mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang untuk mencapai zaman kegemilangan Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast