Temubual bersama Dr. Tan Seng Giaw di Klinik Oon & Tan, Seksyen 19, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 06 OGOS 2019

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak sewajarnya memaksa atau mewajibkan pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk mengikuti dan mempelajari tulisan Jawi.

Bekas Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw menegaskan, sebaliknya KPM hanya perlu menggalakkan pelajar mengikutinya secara sukarela sebagaimana yang dilakukan sekolah aliran itu dalam tulisan kaligrafi Cina.

“Saya suka kepada tulisan Jawi, saya tulis hampir setiap hari, cuma saya ingin menekankan, bila kita ada langkah seperti ini, jangan paksa orang.

“Kita galakkan saja, satu galakan untuk (pelihara) warisan, itu saja.

“Dalam masyarakat Cina, dan ada lebih 1,000 SJKC, di situ ada digalakkan tulisan kaligrafi dalam Bahasa Mandarin, setiap murid mesti ada berus, mangkuk dakwat dan buku latihan, tapi dia tak paksa.

“Kalau kita ada tulisan khat, apa salahnya. Saya menekankan supaya kita jangan paksa seperti kaligrafi Cina pun dia tak paksa, kalau minat, ikut lah. Ia adalah pilihan pelajar,” katanya dalam wawancara khas bersama MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan tulisan Jawi dan seni Khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 di SJKC dan SJKT, menjelang 2020.

Bagaimanapun hasrat itu mendapat bantahan dan tentangan hebat daripada Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan dua pertubuhan Cina.

Seng Giaw juga percaya bahawa hasrat KPM memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular itu tidak berniat jahat atau memberi ancaman kepada kepercayaan bukan Islam.

“Ada orang mencurigai semua itu, nak paksa orang dan sebagainya, itu hanya syak wasangka.

“Masyarakat majmuk memang ada syak wasangka, biarlah Kementerian Pendidikan menyentuh, dia tak ada niat jahat, cuma nak galakkan tulisan Jawi saja,” katanya.

Beliau juga yakin bahawa langkah KPM itu untuk meneruskan usaha banyak pihak sebelum ini yang mahu memelihara tulisan Jawi namun tidak mendapat sambutan orang ramai.

“Kita lihat banyak usaha dibuat, contohnya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memelihara Jawi tapi tak berapa berjaya.

“Sebelum ini ada Utusan Melayu, kerana bilangan pembaca itu kurang, ia dihentikan (terbitan)

“Pelbagai usaha sudah dibuat untuk memelihara Jawi, tapi tak berjaya.

“Cubalah dengan langkah ini sama ada bilangan yang berminat boleh bertambah atau tidak,” katanya.

Katanya, penolakan pengenalan tulisan Jawi oleh sesetengah pihak menunjukkan mereka tidak peka terhadap sejarah di mana ia termaktub sebagai salah satu daripada elemen Bahasa Kebangsaan.

Malah katanya, tulisan Jawi bukan satu ancaman kepada bukan Melayu bahkan ia sekadar warisan negara yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

“Sejak merdeka, tulisan Jawi termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, kemudian bilangan yang mahir Jawi itu semakin kurang, ada usaha nak memelihara warisan ini.

“Warisan ini adalah selama 800 tahun, ia warisan bersejagat, ini bukan masalah Melayu sebab ia adalah masalah manusia.

“Bila kita ada warisan macam itu, kita begitu berikhtiar untuk memelihara di mana-mana pun, bangsa apa pun, negara apa pun, kalau ada warisan, kita cuba memelihara.

“Tulisan Jawi juga adalah warisan, tiada kaitan agama dan bangsa, ia bukan milik satu bangsa,” katanya.

Sebaliknya, Seng Giaw melihat penolakan tulisan Jawi itu kerana ia telah menjadi alat dan mangsa ahli politik yang mengamalkan politik perkauman.

“Dalam masyarakat, ahli politik bila kita nak dapat undi, dia mirip kepada perkauman, dalam berceramah bukan main nak pertahankan bangsa dia, hebat bukan main, nak dapat undi.

“Kalau terlalu perkauman, macam satu bangsa dia saja terunggul sekali. Fikiran macam ini boleh membawa akibat yang buruk.

“Pemimpin seperti ini dia wujudkan suasana macam itu, kerana nak dapat undi, racialism, supremacy sesuatu bangsa, kelebihan sesuatu bangsa itu salah,” tegasnya.

Beliau turut menggesa ahli politik di negara ini agar berhenti mempergunakan apa sahaja isu untuk dipolitikkan termasuk tulisan Jawi yang menjadi warisan kepada negara.

“Semua orang berhentilah cara racialism itu, perkauman tak baik, kalau Malaysia menumpukan perhatian kepada itu (perkauman), mengamalkan racialism, negara ini boleh musnah,” katanya. – MalaysiaGazette