Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bercakap pada sidang media selepas hadir pada Majlis Pelancaran Program Usahawan Muda Malaysia Baru dan Biasiswa Usahawan 2030 di Auditorium Binary University, Puchong, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 06 OGOS 2019.

PUCHONG – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof membidas tindakan segelintir pihak dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang seolah-olah tidak tidak sabar untuk menukar kepimpinan tertinggi kerajaan ketika ini.

Beliau menegaskan, sepatutnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibantu dan diberi sokongan untuk meneruskan semua dasar yang telah dirancang oleh kerajaan sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, apatah lagi negara kini sedang bergerak ke hadapan dan berada di landasan terbaik dalam proses membangunkan semula negara.

“Kita sepatutnya beri sokongan kepada kepimpinan perdana menteri dan berhenti bercakap tentang peralihan kuasa. Sebaliknya teruskan apa yang dirancang kerajaan untuk membina negara semula dengan menyediakan asas yang diperlukan.

“Soalannya ketika ini kenapa kita perlu tergesa-gesa ketika kerajaan sedang bergerak ke hadapan dan berada dalam landasan terbaik

“Pada pandangan saya fokus apa yang kita hendak buat, letak politik di belakang dan kerajaan perlu fokus serta memenuhi janji manifestor Pilihan Raya Umum lalu. Bukan hendak tukar Perdana Menteri dan letak beliau dalam tekanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran program Usahawan Muda – Malaysia Baru dan Biasiswa Usahawan di Binary University di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tegurannya kelmarin terhadap Ronnie Liu agar tidak ‘pusing fakta’ mengenai isu peralihan kepemimpinan kerajaan daripada Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas Mohd. Redzuan, Setiausaha DAP Selangor itu sepatutnya lebih berterima kasih dengan kepemimpinan Dr Mahathir yang telah mencipta kejutan terbesar membawa kemenangan kepada PH dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Malah, kata Mohd. Redzuan yang mesra dengan panggilan Pak Wan, kepimpinan Mahathir perlu dibantu dengan lebih kuat lagi dalam usaha PH untuk membina semula negara tanpa desakan meletak jawatan daripada orang-orang seperti Ronnie.

“Anda (Ronnie) buat kerja sajalah di Selangor, biar Tun M buat kerjanya di Pusat tanpa diganggu gugat dengan politik mengejar jawatan,” katanya sebagai ingatan.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan berkata, isu sokong-menyokong sepatutnya tidak timbul sebaliknya semua pemimpin kerajaan perlu memenuhi dan meneruskan agenda yang telah dirancang.

“Kita mahu menjadi negara keusahawanan pada tahun 2030, kita perlu tolong dan sokong Perdana Menteri untuk memenuhi agenda dan teruskan apa yang sedang dilaksanakan.

“Saya tidak mahu bercakap tentang pertukaran kuasa sebaliknya kita memenuhi agenda,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

  1. TunM dan parti Bersatu patut pegang kepada perjanjian peralihan kuasa yg sudah dipersetujui kesemua pihak sebelum PRU14. Tak usah bagi alasan dan buat pusingan u skrg.

Comments are closed.