Joanna Yu Ging Ping. foto NOOREEZA HASHIM, 31 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-54 perbicaraan berprofil tinggi SRC International, Joanna Yu Ging Ping ditempelek dan diasak bertalu-talu hingga ada ketikanya wanita itu kelihatan ‘takut-takut’ untuk menjawab pertanyaan pasukan peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi.

Malah Jonna Yu yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank juga dilihat cuba melindungi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low walaupun telah memberi keterangannya selama 8 hari ini.

Bagaimanapun, ketika peguam bela Harvinderjit Singh menyoal adakah Joanna bersetuju dengan pandangannya Jho Low sebenarnya tidak jujur, saksi itu kelihatan teragak-agak sehingga diterjah.

Harvinderjit: Jho Low tidak jujur, anda setuju?

Joanna: Err, apabila saya berurusan dengannya, dia tidak nampak seperti itu. Saya sebenarnya tidak boleh….

Harvinderjit: Bukankah dia yang beritahu kamu bahawa dana SRC adalah derma?

Joanna: Benar, dia kata begitu.

Harvinderjit: Itu adalah pembohongan! Saya tidak tahu apa yang kamu cuba sembunyikan sebenarnya. Adakah kamu cuba lindungi Jho Low ketika ini? Adakah anda berkomunikasi dengannya sejak akhir-akhir ini?

Joanna: Tidak.

Harvinderjit: Terdapat banyak permintaan untuk mendapatkan dokumen sokongan bagi draf bank untuk nilai RM140 juta dan pemindahan keluar sebanyak RM27 juta serta RM5 juta dari kedua-dua akaun yang sebenarnya telah diabaikan. Anda juga tidak terima apa-apa.

Joanna: Saya tidak ingat terima apa-apa.

Harvinderjit: Jho Low banyak abaikan permintaan untuk tidak lagi tunaikan apa-apa deposit tunai, dia juga tidak dapat beritahu cek manakah yang di keluarkan dari akaun mana. Sebenarnya dia tidak akan tahu ‘terlalu banyak’ sehingga kamu memberitahunya.

MGF08052019_NAJIB MAHKAMAH04
Harvinderjit Singh hadir pada perbicaraan anak guamnya berkaitan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2019.

Pada masa itu, suara Harvinderjit begitu kuat dan tegas sehingga Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram bangkit menegur.

Sithambaram: Janganlah takutkan saksi. Bukankah dia berikan kerjasama sepenuhnya.

Harvinderjit: Maaf, mungkin rupa saya sangat menakutkan (sambil ketawa terdekah-dekah).

Sithambaram: Bukan rupa kamu tapi suara kamu, saya sendiri pun takut.

Harvinderjit: Adakah Jho Low adalah seorang yang tidak jujur?

Joanna: Saya tidak pasti tetapi ada perkara yang dia beritahu adalah tidak benar.

Joanna yang sepatutnya memberikan keterangan balas terakhir pada hari ini masih lagi di soal balas oleh Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah dan Sithambaram pada masa ini. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast