Mohd Zakaria Ahmad

KUALA LUMPUR – Seramai 501 individu yang menjadi pemegang kad akaun bank ditahan polis atas kesalahan menjual kad mereka kepada pihak ketiga yang disyaki sindiket scam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Zakaria Ahmad berkata, mereka ditahan dalam satu operasi serentak di seluruh negara bertempoh dua minggu bermula 17 Julai hingga 31 Julai lalu.

Katanya, sindiket scam penipuan jenayah komersial ini menjejaki dan bertemu pemegang kad akaun bank yang bertindak menjual kepada scammer tersebut.

“Mereka menjual kad bank itu dengan harga purata sekitar RM300 dan kebanyakan yang ditahan ialah pemuda yang menganggur dan ada juga terdiri daripada suri rumah.

“Kesemua mereka bukannya menyimpan atau mengeluarkan wang simpanan, tetapi sebenarnya membuka akaun simpanan di bank dan apabila dapat kad baharu mereka menjualnya kepada pihak ketiga iaitu sindiket penipuan jenayah komersial,” katanya kepada pemberita di ibu negara.

Terdahulu beliau hadir menutup Seminar bertajuk Trend Terkini Jenayah Komersial di Ibu Pejabat JSJK Jalan Tun Razak hari sejak pagi hingga tengah hari tadi.

Program julung kali itu dihadiri 183 peserta dari Badan Bukan Kerajaan (NGO), organisasi masyarakat, persatuan pengguna dan pihak perbankan yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat agar tidak terpedaya dengan jenayah komersial dalam scam pinjaman tak wujud, ah long dan lain lain pelaburan panggilan telekomunikasi penipuan yang berlaku saban hari.

Beliau mendesak institusi-institusi perbankan di negara ini supaya melihat semula dan memperkenalkan kaedah pembukaan kad ATM akaun bank seseorang supaya dikawal ketat lebih dengan memasukkan peruntukan liabiliti pemegang kad itu supaya tidak boleh bertukar tangan dan jika dikesan digunakan untuk apa apa kesalahan maka pemegang kad itu akan bertanggungjawab sepenuhnya.

“Kita ingin menasihatkan orang ramai supaya jaga kad ATM, debit atau kad kredit anda daripada jatuh ke tangan orang ketiga yang tak bertanggungjawab yang boleh disalahgunakan untuk kegiatan jenayah.

“Janganlah dijual beli kad kad ini atas dasar apa jua alasan sekalipun dan kegagalan melindungi kad kita membolehkan pemegang asal kad didakwa di mahkamah atas dasar persubahat dengan sindiket mengakibatkan kejadian jenayah komersial,” tegas beliau lagi.- MalaysiaGazette