Ketua Pengarah Imigresen Arab Saudi, Mejar Jeneral Sulaiman Al Yahya pada sidang media di Jeddah. foto AFFAN FAUZI, 07 OGOS 2019

JEDDAH – Saban tahun masalah sindiket jemaah haji haram berlaku dan kerajaan Arab Saudi tidak sesekali berkompromi dengan pihak yang tidak ada permit yang sah.

Ketuanya, Mejar Jeneral Sulaiman Al Yahya menegaskan, setakat ini pihaknya mengesan 300 kes visa palsu termasuk yang berlaku kepada 26 jemaah haji Malaysia kelmarin.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya juga menahan 24 orang yang didakwa cuba membawa masuk 96 individu secara haram ke Tanah Suci.

Jika sabit kesalahan, denda sebanyak 10,000 riyal bagi setiap jemaah akan dikenakan dan 15 hari penjara.

Jika mereka ditahan lebih sekali, hukuman akan bertambah berat, katanya dalam sidang media di sini semalam.

Menurut Sulaiman, pesalah juga akan dihalau keluar dan diharamkan memasuki Arab Saudi.

Dalam pada itu, pihak juga memaklumkan sebanyak 1.7 juta jemaah haji datang melalui kapal terbang, 95,634 melalui pengangkutan darat dan 17,250 melalui kapal laut.

Jumlah kesemuanya lebih 1.8 juta jemaah haji dari luar Arab Saudi datang setakat ini.

Ibadat haji bermula 9 Ogos dan berakhir 14 Ogos ini.

Dalam pada itu, Sulaiman menegaskan, sistem yang digunakan pihaknya dapat mengesan sebarang salah laku penipuan visa termasuk gambar dan rekod seseorang individu.

Kelmarin, sebanyak 26 jemaah haji Malaysia dihantar balik kerana visa mereka tidak sah.

Mengenai inisiatif Makkah Route, seramai 171, 648 jemaah mendapat manfaat terutama jemaah haji Malaysia – negara pertama bekerjasama dengan Arab Saudi sejak tahun 2017.- MalaysiaGazette