Gobind Singh Deo
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bercakap pada sidang media selepas selesai menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian (MOU) Level Up Kl 2019 di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – DAP Selangor mengesahkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) mengenai pertukaran agama kanak-kanak bawah umur secara sepihak tidak dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH), semalam.

Pengerusinya, Gobind Singh Deo menegaskan perkara itu tidak timbul dan pihaknya konsisten dengan pendirian sebelum ini bahawa mana-mana RUU tidak berperlembagaan tidak akan dibawa ke Dewan Negeri Selangor (DUN).

“Persoalan tentang RUU berkenaan mahu dibentangkan semula dalam sidang DUN Selangor tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat PH, semalam.

“Setakat ini, kami masih konsisten dengan jelas pendirian kami terhadap mana-mana usul yang tidak berperlembagaan tidak akan dibentangkan ke sidang DUN Selangor,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Level Up Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

MGF09082019_MOU Level Up KL_09
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation, Surina Shukri (kiri) dan Presiden Esports Malaysia, Datuk Ananth (kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian (MOU) Level Up Kl 2019 di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 OGOS 2019

Beliau mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Selangor yang mempersoalkan tindakan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim didakwa menyekat usul mengenai pertukaran agama kanak-kanak bawah umur sepihak daripada dibentangkan dalam persidangan DUN Selangor.

Semalam, empat ADUN DAP dan PKR dititah menghadap Sultan Selangor dipercayai isu membabitkan pemelukan agama Islam yang sepatutnya dibawa Menteri Besar, Amirudin Shari pada sidang DUN Selangor minggu lalu.

Difahamkan, Amirudin cuba meminda enakmen negeri untuk mengubah perkataan berhubung penukaran agama bagi anak yang di bawah umur.

Ketika ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran ‘ibu dan bapa’.

Pindaan itu adalah untuk mengubahnya kepada ‘ibu atau bapa’.

Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan enakmen itu dipercayai dicadangkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta menerima sokongan Sultan Sharafuddin. – MalaysiaGazette