Kerajaan Arab Saudi menyediakan 700,000 khemah untuk jemaah haji di Mina. Foto Radzuan Hassan

MINA – Hari ini bermulalah perjalanan kira-kira tiga juta jemaah ke Mina sebagai sebahagian ritual ibadat haji.

Bayangkan jemaah yang menaiki bas sahaja kira- kira 800,000 orang – belum dikira mereka yang menaiki kereta, kenderaan awam dan berjalan kaki.

Berdasarkan maklumat pihak berkuasa Arab Saudi, sebahagian daripada jemaah akan dibawa awal pagi ke Mina dan bakinya  selepas solat Jumaat.

Bagi memastikan keselamatan jemaah haji di Mina, kerajaan Arab Saudi menyediakan sebanyak 5,909 kamera litar tertutup di sekitar kawasan strategik.

Sudah tentu bukan mudah menjaga Mina kerana dalam kawasan terhad berhimpun jutaan manusia.

Keadaan ini berbeza berbanding sebelum itu kerana jemaah menetap sama ada di Mekah dan di Madinah.

Sebab itu, wakil pihak berkuasanya pernah menyatakan jika ada sebuah bas  sahaja yang rosak, ia akan memberi kesan besar kepada proses logistik di Mina.

Namun bak kata Presiden dan Ketua Masjid Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Abdul Rahman bin Abdul Aziz Al Sudais, Allah sentiasa membantu kerajaan Arab Saudi kerana negara itu  menjaga tetamu-tetamu Allah.

Sementara itu, Kementerian Haji Arab Saudi memaklumkan, pihaknya telah menyediakan 350,000 khemah berhawa dingin bagi kegunaan hampir dua juta jemaah haji.

Khemah- khemah berkenaan bersih dan disediakan minuman air sejuk.

Mina kini sebuah bandar moden dan bersedia menerima tetamu Allah dan 70,000 kakitangannya bersedia memberi perkhidmatan di Mina, Arafat, Muzdalifah, Haram, Jamarat dan beberapa lokasi strategik lain berkaitan haji.

Mulai Sabtu, sekitar kawasan Masjidil Haram akan berubah wajah daripada sepadat-padat manusia kepada berkurangan kerana semua jemaah haji berada di luar kota suci.

Ketika itulah kiswah atau kelambu Kaabah akan dipasang seperti rutin sejak ratusan tahun dahulu.

Selepas itu, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi akan ditutup sementara kepada orang luar bagi proses penyelenggaraan sebelum dibuka bagi ibadat umrah dan ziarah.-MalaysiaGazette