KUALA LUMPUR – Hektar Asset Management menerusi pusat membeli belah utamanya, Subang Parade telah muncul penerima tunggal di Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2019 bagi kategori Bangunan Cekap Tenaga – sub kategori Bangunan Diubahsuai baru-baru ini.

Anugerah berprestij itu adalah yang pertama kali dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca (MESTECC) dengan objektif untuk memperakui sesuatu pertubuhan dapat memacu ke arah pembangunan sektor tenaga mampan dengan penekanan ke arah penyelidikan dan pembangunan inovatif serta amalan terbaik di dalam teknologi tempatan di negara ini.

Sebanyak 145 penyertaan diterima untuk pencalonan bagi anugerah berprestij tersebut dan dari jumlah itu sebanyak 77 telah disenarai akhir untuk dicalonkan ke dalam tiga kategori utama – bangunan cekap tenaga, pengurusan tenaga dan tenaga diperbaharui.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca, Yeo Bee Yin.

Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn Bhd, pengurus bagi Hektar REIT, Datuk Hisham  Othman berkata, dalam perniagaan impak terbesar kepada alam sekitar ialah penggunaan tenaga berskala besar dengan dua per tiga pengguna tenaga di pusat beli-belah disumbangkan oleh pendingin hawa dan pengudaraan mekanikal (ACMV).

“Antara langkah-langkah yang diambil ialah mengkaji dan menyesuaikan semula penggunaan semua penyejuk, mengawal suhu, menetapkan semula masa operasi peralatan utama termasuk penyejuk, sistem ekzos, pengaliran asap, pam, lif dan eskalator daripada mengenakan keperluan ketat ke atas
sistem AHU dan FCU,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Bagi Anugerah sub Kategori Kecekapan Tenaga – Bangunan Diubahsuai, kriteria pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepada reka bentuk keseluruhan tapak, mencapai penjimatan tenaga secara keseluruhan, aspek projek “Passive” dan “Active Design”, penyelenggaraan, pengurusan hartanah serta kesan alam sekitar kekal yang dicapai menerusi inisiatif.

Hektar menjalankan inisiatif cekap tenaga di Subang Parade dengan mengubahsuai sistem termasuklah menggantikan sistem penyejuk kurang cekap, pam, menara penyejuk dan juga memasang Sistem Pengurusan Bangunan pada tahun 2017.

Mengulas lanjut katanya, pengiktirafan daripada MESTECC akan memacu Hektar untuk meneruskan kesinambungan ke arah kelestarian hijau.

Usaha tersebut bagi meningkatkan sistem reka bentuk pencahayaan di pusat membeli belah lain dengan menggantikan mentol kepada LED bagi mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik dan juga kekerapan menukar mentol lampu. – MalaysiaGazette